Tuesday 31 January 2017

Adab Berjiran

Teks: Fauziah Zainudin

Jam sudah menunjukkan angka 10.  Usai solat isyak malam ini, nak terus lelapkan mata.  Masih terasa tegangnya kaki memijak clutch dan pedal minyak.  Sekejap-sekejap tekan pula pedal brek.  Perjalanan sangat perlahan hari ini di lebuhraya.

Saat pahlawan kecil ibu semakin lena, yang lain juga telah dibuai mimpi.  Ibu rasa dah terbang ke angkasa, tiba-tiba bunyi Whatsapp masuk "ibu bekas murid kita dulu, meninggal dunia hari ini".  Innalillahiwainnailahirojiun.  Allah, kasihan anak-anak masih kecil dan kurang sihat pula.  Semoga Allah tempatkan arwah disisiNya bersama mereka yang solehah, Aamiin.

Rasa mengantuk kembali menguasai.  Sambil mendodoi pahlawan kecil, sambil melayan mata.  Akhirnya, saat hampir terlena di ulit intan, "vrrommm, vrrommm".. Allah, siapa pula kali ini?  Pejamkan sahaja mata yang hampir lena, namun kurang berjaya bila mana keluar pula suara-suara ketawa dan bualan mereka.

Mengintai dari jendela depan, tiada masa lainkah mereka mahu berkumpul? Di depan jalan betul-betul dihadapan rumah.  Tidak marahkah ibu bapa mereka, tatkala anak remaja  tiada di rumah waktu malam begini? Ye, benar esok masih bercuti.  Tapi manakah adab berjiran kita?

Hati sedikit geram, sambil mengambil kunci kereta, saya bergerak dalam kelam bercahayakan lampu jalan.  Konon-konon mencuba alarm kereta yang berada di luar pagar.  Kemudian, "adik-adik, kan dah malam ni, orang lain nak tidur, ada anak-anak kecil nak tidur, kenapa berkumpul di situ? Ada apa-apakah?"  Semua memandang.  "Kitakan hidup berjiran".  Sambil masih memandang, ada yang tertunduk.  Tak kurang pula menyalahkan rakan lain.  Saya berlalu pergi, mujur saya berkata tanpa memarahi.

Kedengaran deru motosikal berlalu pergi, jalan kembali sunyi.  Alhamdulillah.  Namun masih kedengaran dentuman mercun sekali sekala.  Faham, masih dalam suasana Tahun Baru Cina.

Pulanglah anak-anak, ibu bapa mu menunggu di rumah dalam kerisauan.

~fauziahzainudin~

No comments:

Post a Comment