Friday 13 January 2017

Bisnes Kecil-kecilan saya

Teks: Fauziah Zainudin

Jual?  Bermacam rasa dan perasaan muncul saat pertama kali disyorkan menjual oleh mak.  Malu, takut, segan bercampur menjadi satu.  Malu nanti kalau tiada siapa yang mahu beli jualan saya.  Takut kalau cikgu tahu, jualan akan dirampas, macam mana nanti kalau cikgu marah?.  Belum cuba belum tahu kan?.  Saya bermula dengan jualan sagun buatan mak ketika di sekolah rendah, dalam darjah 5.  Pada mulanya, sekadar untuk mencari duit belanja harian sekolah.  Tahun 1989 belanja 20sen sudah cukup, sementelahan lagi abang dan kakak juga bersekolah.  Saat itu hidup di Felda tidak mewah, ibarat kais pagi makan pagi.  Abah juga melakukan kerja luar iaitu menoreh getah.

Biasanya sagun dijual di sekolah pagi sekolah agama petang.  Saya akan mengambil order terlebih dahulu sehari sebelumnya.  Dengan 10 batang sagun boleh menghasilkan RM1 hasil jualan jika habis terjual.  Biasanya hasil jualan sehari lebih kurang RM2-RM3.  Alhamdulillah, hasil jualan akan diserahkan kepada mak untuk 'rolling' semula dan belanja harian ke sekolah.

Bukan hanya sagun, saya turut menjual hasil tanaman buah-buahan abah.  Mangga, kuini dan jambu air di keliling rumah menjadi sasaran jualan saya, kakak dan abang.  Seronok menjual kerana pernah hasil jualan yang dikumpul dapat membeli sehelai skirt kesukaan saya.  Tanpa sedar sebenarnya, ia menjadi satu latihan untuk berdikari.  Selain itu turut menjadikan saya sedikit berani berkomunikasi.  Saya juga pernah menjual cili dan jagung hasil tanaman di kebun abah.  Saya akan bergerak dari rumah ke rumah seperti salesgirl dan salesman sekarang.  Ketika itu, hasil jualan bukan setakat sen-sen, tetapi mencecah puluhan ringgit.  Wah! seronok dan gembira.

Bisnes online saya bermula pada 2012.  Menjual pakaian wanita, berupa baju kurung cotton keluaran Glory Collection.  Sekadar suka-suka pada mulanya, saya mendaftar sebagai dropshipper, yang mana tidak perlu menyimpan stok, hanya membuat promosi jualan dan mencari pelanggan.  Itu lebih mudah, jadi saya menjadi dropshipper selama beberapa bulan.  Melihat permintaan yang sangat baik, saya berusaha menjadi agen.  Agen perlu mengambil stok, tetapi boleh menjual di dalam kumpulan yang diletakkan ramai agen selain menjual offline.  Saat menjelang Hari Raya adalah saat yang sangat mengujakan.  Bayangkan baru 1 Ramadhan, orang sudah sibuk mencari baju raya.  Selain menjual di dalam kumpulan, kami juga dapat berkongsi tips-tips menjual.  Seronok mendapat pengalaman dan kawan baru.  Namun, 2014 saya berhenti menjual pakaian wanita.

Ketika berjalan-jalan di FB, saya terbaca iklan tentang CrispyKapit.  Tak pernah lagi melihat kuih  kapit yang berinti coklat dan mentega kacang.  Mesti sedapkan.  Jadi saya terfikir juga untuk memborong sempena hari raya.  Sebelum menempah kuih kapit tersebut, saya lakukan promosi di fb, kemudian mengambil tempahan pelanggan.  Alhamdulillah, sambutan agak baik.  Disebabkan masalah pengangkutan, saya terpaksa mengambil sendiri stok di RnR Seremban setelah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.  Ya, perancangan Allah lebih baik dari kita hambaNya.  Keesokan Hari saya menerima perkhabaran abah kemalangan, tidak sedarkan diri dan telah dimasukkan ke Hospital Besar Seremban.  Allah, Ramadhan ini kami berduka.  Penghantaran kuih kapit terpaksa dihentikan.  Kami berkampung di hospital.  Tinggalkan segala kesedihan, hidup perlu diteruskan.  Al-Fatihah untuk arwah abah dan mereka yang telah pergi terdahulu dari kita. Al-Fatihah.

2015, saya mencuba pula menjadi dropship produk aromaterapi SUTRA dan BIDARAWORLD.  Kenapa saya sukakan SUTRA?  Awalnya saya membeli produk ini dari rakan fb, iaitu Multipurpose Spray Pandan.  Baunya harum seharum daun pandan asli yang ditanam oleh mak.  Ianya ekstrak minyak pati pandan itu sendiri dan campuran air.  Ianya serbaguna, boleh digunakan untuk menghalau serangga, menggosok pakaian, mengelap cermin dan banyak lagi kelebihan MPS Pandan ini.  Malahan ada yang menjadikannya spray badan.  Jadi, saya terfikir produk ini pasti diperlukan oleh ibu-ibu diluar sana.  Kini, saya adalah Agent Sutra Pontian yang sah.  Saya bangga dan suka berkongsi manfaat produk ini dengan orang sekeliling kerana ia keluaran bumiputera, natural dan mampu milik.

Terkini, saya turut menjual barangan permainan kanak-kanak yang lebih berunsur pendidikan.  Saya bekas guru tadika selama lebih kurang 11 tahun.  Selama 11 tahun ini, saya nampak ramai anak-anak yang kurang mahir motor halusnya.  Motor halus tidak terbina dengan baik.  Kenapa dan mengapa?  Jawapannya sangat mudah, sekarang dunia IT,  gadget ada dimana-mana.  Ibu bapa bekerjaya, nak mudah, berikan anak-anak bermain permainan di komputer, iPad, handphone dan bermacam gadget lain.  Malahan ada anak yang ketagihan gadget, dikatakan leka tidak makan dan minum sehingga gadget tersebut kehabisan bateri dan padam sendiri.  Bayangkan, anak-anak tersisih dari dunia sebenar kerana gadget.  Jadi, saya berharap dengan permainan pendidikan yang ada dipasaran, dapat membuka mata Ibu bapa, sebenarnya banyak lagi permainan lain yang sangat sesuai untuk anak-anak.

Dalam berniaga bermacam ragam pelanggan yang ditemui.  Semuanya perlu dihadap dengan senyuman dan dada yang lapang.  Pelanggan lari barang dah tempah, pelanggan berhutang terlupa membayar, pelanggan minta diskaun padahal dah habis murah dan bermacam-macam lagi.  Semoga Allah gantikan dengan yang lebih baik.  InshaaAllah, sentiasa bersangka baik.  Namun tidak kurang juga pelanggan yang melontarkan kata-kata yang baik dan seronok di dengar.  "Seronok berbual dengan akak, I rasa sis ni friendly sangat, balance tu akak tak payah pula kan, saya halalkan".  Allahu terima kasih Allah.  Semoga saya sentiasa dikelilingi oleh mereka-mereka yang positif setiap saat dan waktu.


No comments:

Post a Comment