Tuesday 10 January 2017

Kenali Saya

Bismillahirrahmanirrahim..
Selawat dan Salam buat Rasul Junjungan Nabi Muhammad SAW.
اللهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ اٰلِ مُحَمَّد

Fauziah nama yang diberikan oleh ayahanda Zainudin bin Sharif dan bonda Siti Sowyah bt Musa.  Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sederhana.  Kami 8 beradik, saya anak ke-5 dalam keluarga.  Kami anak Peneroka.  Arwah abah memasuki Tanah Rancangan Felda di Negeri Sembilan kira-kira 35 tahun dahulu.  Lebih kurang sebaya umur saya 39 tahun.

Mendapat pendidikan awal di Sek Keb Felda Pasoh 2.  Saya membesar seperti kanak-kanak lain.  Ke sekolah, bermain dan berkawan.  Meneruskan persekolahan peringkat menengah di Sek Men Felda Pasoh 2 dari tingkatan 1 hingga 3.  Kemudian menyambung persekolahan di Sek Men Vokasional Juasseh, Kuala Pilah.  Kini dikenali sebagai Kolej Vokasional.  Di Vokasional saya di dalam Kelas Pengurusan Pejabat dan sentiasa bercita-cita menjadi setiausaha.  Tapi Allah tidak mengizinkan bila mana arwah abah juga tak izinkan.  Awal persekolahan saya tinggal di asrama, namun 3 bulan kemudian saya keluar dari asrama dan berulang dari rumah.  Bermulalah episod suka, sedih dan kelakar dalam perjalanan sepanjang kira-kira 30km dari rumah.

Saya meneruskan pengajian ke Politeknik Sultan Ahmad Shah, Pahang dalam kursus Pemprosesan Data.  Di Politeknik, suasana pembelajaran hampir sama seperti di sekolah, ketika itu tahun 1996.  Tapi saya sangat beruntung kerana pihak asrama dan HEP sangat menjaga kebaikan pelajar.  Hidup di asrama memang sangat menyeronokkan tidak seperti semasa di SMVJ.  Rakan sekelas sangat baik dan kami sangat rapat terutama pelajar perempuan Islam yang hanya 6 orang.  Bermacam ragam dan perangai rakan-rakan yang ditemui.  Semuanya ditelan dan dihadap dengan bermacam rasa juga.  Namun ikatan persahabatan itu kami teruskan sehingga kini.

Saya memohon melanjutkan pengajian ke UTM, Skudai.  Dalam jurusan Sains Komputer, tetapi tidak meneruskan sehingga Ijazah.  Hanya peringkat Diploma.  Oleh kerana Kelas Diploma banyak masa terluang, saya melakukan kerja sambilan. Jadi, saya tidak perlu meminta wang dari keluarga.  Selesai diploma, saya terus bekerja.  Niat ke bidang pendidikan terpaksa disimpan demi adik-adik pula.

Bermacam-macam pekerjaan saya buat sejak habis SPM sehinggalah benar-benar ke alam pekerjaan. Bermula dari operator pengeluaran, kerani, sales, guru komputer, it eksekutif dan guru tadika.  Semuanya memberi pengalaman berharga yang tidak dapat diperolehi di mana-mana.  Alam pekerjaan mengajar erti hidup.  Hidup bersendirian, jauh dari keluarga pula, mendidik diri berdikari.  Sehingga kini, sudah berumahtangga, saya fikir saya tetap perlu berdikari walaupun suami sentiasa membantu.

Saya mula berniaga sejak di sekolah rendah.  Menjual sagun buatan mak.  Selain itu, turut menjual buah mangga, kuini dan jambu air tanaman abah.  Asalnya malu dan takut, tapi bila jualan habis, gembira tak terkata.  Namun, kadang kala jualan tidak terjual.  Saat itu, sedih mengingatkan penat mak membuat sagun.

Saya juga biasa menjual hasil kebun abah saperti jagung, cili dan sayuran lain.  Pernah juga menjual kerang hasil kutipan abah di laut.  Seronok bila laku dan dapat hasil selain membantu keluarga.
Sebenarnya, boleh di katakan adik beradik lain juga berniaga walaupun kecil-kecilan.  Abah juga dulu membuka kedai rumcit.

Kini, saya berniaga online.  Walaupun bermula dengan dropship, ada masanya jualan sangat memberangsangkan.  Niat berhenti kerja kerana ingin membesarkan sendiri anak-anak, selain memberi sepenuhnya komitmen pada bisnes online ini.  Semoga dengan mengikuti kelas blog ini akan membuka minda saya.  Saya ingin menambah ilmu dalam bidang ini sebagai persiapan menghadapi cabaran dunia bisnes online yang semakin hebat.  InshaaAllah moga Allah permudahkan.  Aamiin.

No comments:

Post a Comment