Thursday 26 January 2017

Mainan Edukatif

Teks: Fauziah Zainudin
Foto: Sumber Google

Educational Toys, bila diterjemah menjadi Permainan Edukatif.  Maafkan jika terjemahan ini salah.  Tiada niat mencalar bahasa ibunda ini.

Permainan Edukatif merupakan permainan yang bertujuan merangsang daya berfikir anak-anak.  Permainan ini biasanya mengikut tahap umur anak-anak.  Seperti yang telah disarankan sebelum ini, pilihlah permainan yang tepat untuk anak-anak.

Bilakah waktu yang sesuai ibu bapa memberikan permainan edukatif ini kepada anak-anak?  Sebaiknya, seawal 2 tahun sudah boleh diberikan permainan edukatif ini.  Ini bagi merangsang daya pemikiran anak-anak.

Ketika anak-anak bermain, otak mereka akan menganalisa maklumat.  Semestinya ibu bapa perlu turut bersama ketika bermain untuk menjadi pengantara kepada anak.  Contoh, seorang ibu dan anak bermain mainan puzzle bentuk.  Si ibu perlu membantu anak buat pertama kali bagaimana bermain permainan tersebut.  Biasanya bentuk-bentuk akan berwarna warni, secara tidak langsung ibu akan memperkenalkan warna kepada anak-anak.  Tidak cukup sekali, ibu perlu mengulang permainan sehingga anak mahir dan boleh bermain sendiri.

Dengan bermain tadi, anak membina kemahiran motor halusnya, dengan memegang alat permainan.  Jemari anak menyentuh permukaan permainan, sensori motor akan berkembang.  Sensori motor termasuk sentuhan pada permainan, pergerakan semasa bermain dan pengulangan perlakuan.  Di sini anak tahu permukaan yang licin atau kesat.  Keseluruhan pancaindera digunakan semasa bermain.

Jadi, ibu bapa belilah permainan yang tepat untuk anak-anak.  Walaupun permainan edukatif tapi pastikan sesuai dengan tahap umur anak.  Lebih penting pastikan keselamatan alat permainan terjamin.

Selamat memilih permainan untuk anak-anak.
Selamat bercuti😊😊

~fauziahzainudin~

No comments:

Post a Comment