Wednesday 18 January 2017

Ku Jejak Langkah Mu Duhai Kekasih Allah

Teks: Fauziah Zainudin
Foto: Koleksi Peribadi

Selawat dan Salam ke atas Rasul Junjungan Nabi Muhammad SAW.
اللهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ اٰلِ مُحَمَّد

Rasulullah dalam mengenangMu,
Kami susuri lembaran sirahMu,
Pahit getir, perjuanganMu,
Membawa Cahaya Kebenaran..

Ya, tanggal 17 Mac 2016, Allah menjemput saya, suami dan kedua mertua menunaikan ibadah umrah.  Syukur Ya Allah, detik yang sangat dinantikan sekian lama.  Kata suami, dia sudah lama berniat membawa mak dan abahnya.  Alhamdulillah, Allah izinkan.

Namun, biar saya teruskan dengan kisah pada 18 Mac 2016, keesokkan harinya.  Ahli rombongan kami dalam kiraan 40 orang sahaja, tidak ramai.  Ada warga emas, dewasa, remaja dan kanak-kanak. Hari kedua kami dibawa melawat jejak peninggalan Rasulullah dan tempat-tempat bersejarah dalam Islam.

Mari saya bawakan jejak langkah kami menuju gua yang tidak perlu diperkenalkan lagi.  Petangnya saya, suami dan kawan-kawan abah menjejak langkah Kekasih Allah itu.  Kami bertolak menaiki sebuah Toyota Avanza yang disewa khas oleh mutawwif kami.  Perjalanan sejauh 3.2 km sahaja.  Dekat atau jauh pada pandangan kita?  Rasulullah berjalan kaki, manakan sama dengan kami yang berkenderaan dan berhawa dingin? Allahu..

Gua Hira' terletak di atas Jabal Nur.  Berketinggian 270m lebih kurang 600 anak tangga.  Kelebaran Gua Hira' 1.60m dan tingginya 3.7m.  Bayangkan Rasulullah bersendirian memanjat anak-anak tangga menuju Gua Hira' yang kedudukannya terletak pada tebing yang curam dan berbatu.  Rasulullah bersendirian di sini, bermunajat kepada Allah selama lebih kurang 3 Tahun. Berulang-alik, kadangkala bermalam.  Di sinilah Rasulullah menerima wahyu pertama dari Jibril.

Jabal Nur boleh dikategorikan tidak tinggi, namun untuk sampai ke puncak perlu melalui lereng-lereng dan jalan batu yang kering berdebu.  Ada masa kami berhenti rehat dan melihat pemandangan dari atas.  Di dalam kumpulan kami ada rakan abah yang sakit kaki, namun tetap bersemangat untuk mendaki.  Bagi pendaki yang sudah biasa mungkin tiada masalah, tapi bagi kami yang tidak selalu mendaki mencabar fizikal dan mental.

Di tepian tangga batu itu ada masa terlantar peminta-peminta sedekah.  Di satu laluan, kami fikirkan peminta sedekah itu tidur, rupanya tidak.  Tatkala kami melalui nya, spontan laungan "Malaysia Boleh" kedengaran.  Eh, saya yang pertama kali menghadapi situasi itu memang terkejut.

Semakin hampir ke puncak, jalan semakin agak curam dan sempit.  Orang turun dan naik bertali arus.  Sempat pula berhenti bila disapa seorang wanita yang berasal Sabah.  Berkenalan dan bergambar pula.

Akhirnya puncak Jabal Nur dapat kami jejaki.  Ya Rasulullah, kami jejaki langkah Mu.  Syukur Ya Allah, Rasulullah pembaca Rahmat sekalian alam.  Saya mengambil masa duduk sejenak sebelum turun semula.  Pintu Gua Hira' penuh dengan manusia.  Mereka berusaha untuk bersolat sunat di dalamnya.  Cukuplah kami memandang, jangan ditempah maut yang tidak diundang.  Jaga keselamatan lebih utama.  Bertolak-tolakan, berebut bukan itu yang Rasulullah inginkan.  Dimana pun kita berselawat lah untuk mendapat syafaat Baginda.  Malu Rasulullah tengok, inikah umat Baginda?




No comments:

Post a Comment