Wednesday 8 February 2017

5 Mainan Merangsang Motor Halus

Teks: Fauziah Zainudin
Foto:

Pernah dengar perkataan motor halus? Halus lawannya kasar.  Jadi, kalau ada motor halus tentu mestilah ada motor kasar.  Masa awal-awal dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, perkataan motor halus tu sangat janggal.  Apa benda lah motor halus tu.  Setelah mencari ilmu dan diberikan pendedahan, kefahaman makin bertambah mengenainya.  Alhamdulillah, boleh lah membantu serba sedikit adik beradik, ipar duai yang kurang faham.

Secara kasar untuk mudah faham, motor halus itu, contohnya menjentik.  Menjentik apa? Ok, menjentik tutup botol.  Bukan senang kan hemdak menjentik tutup botol tu.  Berilah tutup botol kepada anak-anak yang berusia 4 tahun, rasanya boleh tak mereka menjentiknya?.  Boleh, andai kemahiran motor halus si anak telah dibina dan dikembangkan sejak kecil.  Tapi sekiranya, si anak dibiarkan, tanpa sebarang bantuan untuk membina motor halusnya, mungkin dia tidak boleh menjentik tutup botol tersebut.  Kenapa agaknya?.  Saya jawab, kerana segala urusan harian si anak dilakukan oleh ibu.  Contohnya, memakai baju, ibu pakaikan, tidak di ajar si anak memakai sendiri.  Makan, ibu suapkan lagi.  Selipar dan kasut ibu pakaikan.  Itu antara contoh urusan harian yang dilakukan oleh ibu.  Sepatutnya, ibu bantu sahaja, anak yang lakukan.

Ok, dari segi bahasa bukunya, motor halus melibatkan pergerakan dan pengawalan otot-otot kecil.  Iaitu, jari jemari tangan dan jari-jari kaki, bibir dan lidah serta koordinasi mata.  Macam mana tu? Otot-otot ini perlu digerakkan untuk memudahkan anak-anak melakukan urusan harian dan membina kemahiran menulis kelak.

Baik, antara aktiviti yang boleh ibu bapa lakukan untuk meningkatkan kemahiran motor halus anak ialah:-

1. Bermain Magic Clay
Dulu-dulu, kita main tanah liat atau plastersin.  Tapi sekarang, telah diinovasikan menjadi play doh.  Play doh lebih selamat kerana tiada toksin.  Malah ibu boleh buat sendiri play doh di rumah dan bermain bersama anak-anak.  Mudah sahaja, seperti buat doh kuih donut juga.  Ada yang lebih baru, Magic Clay, dimana ia lebih lembut dan ringan sehingga boleh terapung di dalam air.  Magic Clay juga lebih selamat tanpa bahan kimia.  Ia di tampilkan dengan warna-warna yang menarik beserta acuan-acuan sampingan bagi membolehkan anak-anak menerap.  Ia juga boleh dikeringkan dan dijadikan key chain.  Motor halus anak-anak berkembang melalui aktiviti menguli, menggentel, memintal, menekan, menggelek dan membentuk yang mana semuanya menggunakan otot jari dan tangan.




2.  Origami
Lipatan kertas atau origami sangat seronok.  Mulakan dengan mengajar lipatan menggunakan sapu tangan bersaiz segi empat sama, dilipat menjadi 2 bahagian, kemudian lipat lagi menjadi segi empat sama yang kecil.  Kemudian, boleh lah menggunakan kertas.  Buatlah origami yang paling mudah, apabila sudah mahir barulah beralih kepada yang sederhana dan sukar.  Perhatikan, melipat juga menggunakan jemari tangan dan koordinasi mata.  Ia juga membantu anak-anak untuk fokus.




3.  Menggunting 


Biasanya untuk anak berumur 5 tahun, ajarkan menggunting bebas.  Macam mana nak gunting bebas? Berikan gunting dan kertas, gunting lah macam mana anak suka.  Ketepi, ketengah, panjang, pendek, biarkan.  Nama pun bebas kan.  Kemudian setelah mahir memegang gunting dan kertas, ajarkan menggunting lurus.  Guntinglah straw, tapi pastikan ada tanda garisan.  Anak perlu ikut garisan.  Bantu jika anak jika perlu.  Pengawasan adalah penting.  Setelah itu barulah menggunting garisan zig zag, bersegi, berbentuk dan lebih sukar.  Menggunting perlu langkah demi langkah.  Disini, koordinasi mata dan gerakan jemari digunakan.


4.  Menguntai
Apa itu menguntai? Menguntai ialah seperti  membuat gelang menggunakan straw.  Contoh straw yang dipotong pendek-pendek, kemudian masukkan tali pada straw dan susun sehingga menghasilkan gelang straw.  Boleh juga menggunakan manik.


5.  Melukis
Melukis tidak semestinya gambar pokok, orang dan buah.  Tetapi apa sahaja yang anak ingin lakarkan.  Ianya bermula dengan menconteng.  Semasa menconteng anak-anak berkarya sebenarnya.  Semasa memegang pensel dan pensel warna, anak berfikir apa yang ingin dilakarkan.  Mungkin anak hanya membuat garisan, bulatan atau titik-titik sahaja.  Biarkan, semakin lama nanti anak akan semakin mahir apabila genggaman pensel semakin baik.

Itu sedikit aktiviti yang ibu bapa boleh lakukan untuk membantu membina kemahiran motor halus anak-anak.  Tak perlu yang susah-susah, mulakan dengan yang mudah dahulu.  Ada banyak lagi aktiviti lain yang ibu bapa boleh lakukan di rumah bersama-sama anak.

Nanti kita sambung ye! Dahh😊

~fauziahzainudin~

No comments:

Post a Comment