Wednesday, 11 January 2017

Ebook Asas Penulisan Blog

Ulasan Ebook Asas Penulisan Blog
Teks: Fauziah Zainudin
fauziahzainudin19@gmail.com

Pernah dulu, saya mencuba membina sebuah blog melalui carian di Google.  Wah! mudah rasanya sebab sudah disediakan template atau acuannya.  Hanya perlu ikut dan pilih.  Namun, bukan seperti yang dilihat atau difikirkan.  Nampak mudah, hakikatnya payah jika tiada panduan.  Jadi, usaha hanya tinggal usaha.

Suatu hari, melalui Facebook, saya ternampak iklan Puan Nor Amalina Rohaizad mengenai Kelas blog.  Saya baca dan fikir, "nak ke?".  Tanpa sedar, otak mengarahkan jemari menaip "pm saya juga" di komen.  Nah, kini saya bergelar murid kepada Puan Amal.  Saya bersedia menadah ilmu yang diberikan bagi menghasilkan sebuah blog yang berinformasi dan mampu memberi manfaat kepada pembaca.

Ebook Asas Blog Penulisan adalah panduan lengkap bagaimana menghasilkan sebuah blog yang baik.  Bukan sekadar baik tetapi berpengaruh.  Sesesuah blog perlu ada analisa dan penentuan tajuk blog.  Ianya seperti biodata penulis.  Dilengkapi nama, latarbelakang keluarga dan pendidikan, bisnes, minat dan matlamat mengikuti Kelas Blog.

Jangan menulis sesuka hati sahaja, ada tatacara dan adab dalam menulis blog.  Dimulakan dengan tajuk, pendahuluan, isi dan penutup.  Tulisan perlu tersusun dengan baik.  Bab, entri dan label perlu ada.  Pendek kata, ianya sistematik.  Jadi, barulah pembaca dapat membaca dengan seronok dan selesa.

Banyak kita lihat dikalangan penulis blog yang menulis dengan bahasa yang bercampur aduk. Kadang kala, tatabahasa juga tidak diambil kira.  Penggunaan bahasa yang betul perlu digunakan.  Ini tidak boleh dipandang ringan.  Kewibawaan sesebuah blog boleh dinilai dari bahasa yang digunakan. Bahasa Jiwa Bangsa, gunakan Bahasa Melayu yang indah ini dengan betul.

Begitu juga, dengan tanda bacaan.  Mesti digunakan dengan betul.  Penulis perlu bijak memilih penulisan dengan ayat pendek-pendek.  Jika panjang, gunakanlah tanda bacaan.

Blog yang baik dan berpengaruh perlu ada cerita atau entri yang baik, gambar yang sesuai dan sentiasa dikemaskini.  Bayangkan, sebuah blog Resepi Masakan, tapi tiada satu pun gambar masakan di dalam blog tersebut.  Tulislah dengan ringkas, cepat dan konsisten setiap hari.  Tapi awas, pastikan penulisan sentiasa positif.  Tulislah, keluarkan idea yang kreatif, namun masih terikat dengan adab dan tertib penulisan blog.  Menulis pasti menyeronokkan bila mana hasil penulisan dapat dimanfaatkan oleh pembaca.  Pembaca pasti akan tertunggu-tunggu entri kita yang terkini.

Akhir kalam, saya berharap dapat menghasilkan blog yang baik, berfokus dan mampu memberi nilai tambah kepada pembaca.  InshaaAllah.

No comments:

Post a Comment