Tuesday 31 January 2017

Adab Berjiran

Teks: Fauziah Zainudin

Jam sudah menunjukkan angka 10.  Usai solat isyak malam ini, nak terus lelapkan mata.  Masih terasa tegangnya kaki memijak clutch dan pedal minyak.  Sekejap-sekejap tekan pula pedal brek.  Perjalanan sangat perlahan hari ini di lebuhraya.

Saat pahlawan kecil ibu semakin lena, yang lain juga telah dibuai mimpi.  Ibu rasa dah terbang ke angkasa, tiba-tiba bunyi Whatsapp masuk "ibu bekas murid kita dulu, meninggal dunia hari ini".  Innalillahiwainnailahirojiun.  Allah, kasihan anak-anak masih kecil dan kurang sihat pula.  Semoga Allah tempatkan arwah disisiNya bersama mereka yang solehah, Aamiin.

Rasa mengantuk kembali menguasai.  Sambil mendodoi pahlawan kecil, sambil melayan mata.  Akhirnya, saat hampir terlena di ulit intan, "vrrommm, vrrommm".. Allah, siapa pula kali ini?  Pejamkan sahaja mata yang hampir lena, namun kurang berjaya bila mana keluar pula suara-suara ketawa dan bualan mereka.

Mengintai dari jendela depan, tiada masa lainkah mereka mahu berkumpul? Di depan jalan betul-betul dihadapan rumah.  Tidak marahkah ibu bapa mereka, tatkala anak remaja  tiada di rumah waktu malam begini? Ye, benar esok masih bercuti.  Tapi manakah adab berjiran kita?

Hati sedikit geram, sambil mengambil kunci kereta, saya bergerak dalam kelam bercahayakan lampu jalan.  Konon-konon mencuba alarm kereta yang berada di luar pagar.  Kemudian, "adik-adik, kan dah malam ni, orang lain nak tidur, ada anak-anak kecil nak tidur, kenapa berkumpul di situ? Ada apa-apakah?"  Semua memandang.  "Kitakan hidup berjiran".  Sambil masih memandang, ada yang tertunduk.  Tak kurang pula menyalahkan rakan lain.  Saya berlalu pergi, mujur saya berkata tanpa memarahi.

Kedengaran deru motosikal berlalu pergi, jalan kembali sunyi.  Alhamdulillah.  Namun masih kedengaran dentuman mercun sekali sekala.  Faham, masih dalam suasana Tahun Baru Cina.

Pulanglah anak-anak, ibu bapa mu menunggu di rumah dalam kerisauan.

~fauziahzainudin~

Tv Vs Mainan Edukatif

Teks: Fauziah Zainudin

Bila tv rumah uwan rosak, anak-anak jadi lebih rapat, lebih bersosial antara sepupu.  Kalau tidak, sibuk berebut rancangan tv kegemaran sendiri.

Hari ini, abang Harith ajar adik Merah main dam.  Asalnya itu permainan chess, disebabkan ibu pun tak mahir main chess, ibu ajar abang Harith main dam.  Lepas dah banyak kali kalah, ibu suruh abang Harith ajar adik Merah, sekurang-kurangnya abang boleh rasa menang.  Hehe, jenuh mengajar adik Merah yang baru berumur 5 tahun.

Mereka pilih mainan yang mereka nak beli tadi semasa di kedai mainan.  Abang Harith pilih chess, adik Merah pilih lego, selepas beberapa pilihan mainannya tidak diluluskan oleh Mak Usu.  Bukan apa, nak ajar mereka beli mainan yang berfaedah dan menjentik minda bukan mainan yang bukan-bukan.

Letih bermain, mereka baring dan berbasikal pula.  Almaklum di kampung, kawasan yang luas digunakan sepenuhnya.

Akhirnya, abang Harith tewas, kepenatan dan sakit gigi.  Adik Merah pula diserang selsema.  Kasihan mereka.

Tidak mengapa, anak-anak yang kuat akan cepat sihat.

~fauziahzainudin~

Sunday 29 January 2017

Kelas Online

Teks: Fauziah Zainudin

Baru-baru ini, saya cuba mengikuti satu kelas bisnes online, "Close Sale".  Dengan harga yang mampu milik, saya beranikan diri.  Sebelum ini, saya tak pernah mengikuti mana-mana kelas atau bermentor.

Susah juga memilih mentor yang sesuai.  Ada sahaja yang tidak berkenan di hati.  Difikirkan mentor ini wanita dan pernah saya ikutinya di fb, selain menjual produknya suatu ketika dahulu, jadi saya nekad.

Alhamdulillah, ilmu yang ringkas dan padat.  Memang mudah untuk dihadam.  Senang untuk dipraktikkan.

Memang bukan mudah untuk "close sale" jika tidak kena gaya pelanggan.  Bukan semua pelanggan mudah memilih dan terus membayar.  Banyak soal jawab pelanggan yang perlu di layan.  Apapun, mereka berhak kan.

Pada hemat saya yang sangat tidak ada ilmu bisnes ini, tidak perlu ayat yang bombastik sangat untuk memancing pelanggan.  Boleh sahaja ayat penceritaan yang baik, tapi bukan ada unsur seperti menipu.  Andai kata produk yang dijual baik, niat kita juga baik, InshaaAllah, pelanggan pasti beli.

Bila mana di katakan kita perlu menekan pelanggan dengan ayat yang konon menunjukkan masalah pelanggan berat dan kita mampu bantu, saya rasa akan sangat bersalah kepada pelanggan.  Mana mungkin!

Mungkin ada yang suka membaca ayat yang menikam jiwa, tapi ada juga yang malas membaca ayat panjang, cukup ayat yang ringkas, tepat dan padat.

Jadi, pilihan di tangan saya.

~fauziahzainudin~

Saturday 28 January 2017

Asrama 90an

Teks: Fauziah Zainudin

Dalam hidup, pengalaman adalah guru.  Mengajar untuk hidup lebih tabah, lebih rajin, lebih berusaha dan macam-macam lagi.  Kenapa ye? Kerana asalnya, kita tidak tahu, tetapi melalui pengalaman tadi kita jadi tahu dan mahu lebih tahu.

Setiap insan melalui pengalaman yang menggembirakan atau menyedihkan.  Pastinya, yang menggembirakan itu, selalu di kenang.  Namun, pengalaman menyedihkan itu, tidak sepatutnya terus dibuang, mungkin ada sisi pengalaman sedih itu yang menjadikan kita lebih kuat dan tabah.

Pengalaman saya pertama kali masuk asrama memang menggembirakan.  Orang kata duduk asrama, orang bijak-bijak, orang pandai-pandai.  Oh, tidak semestinya.  Saat pertama kali dapat menduduki asrama, hati berdebar antara suka dan risau.  Suka sebab tak payah naik bas, pagi-pagi kena bangun awal.  Asrama dan sekolah, tak sampai 1km, jadi mudahkan.  Risau, tak tahu dapat ke duduk sebilik dengan kawan baik?.  Yelah, ramaikan yang tinggal di asrama.

Rupanya, kerisauan menjadi nyata, saya tidak dapat sebilik atau sedorm dengan kawan baik.  Tiada seorang pun kawan baik dalam dorm tersebut.  Ada seorang rakan sekelas saya dalam dorm, tapi saya kurang baik dengan dia.  Allah, macam mana? Rupanya Allah letak saya sebilik dengan yang saya kurang baik supaya saya mendapat ramai kawan.  Ye, saya jadi selesa dengannya.  Setiap pagi bersama ke surau.

Zaman 90an dahulu, sangat popular dengan sesi "ragging".  Di tukar sedikit namanya "suai kenal".  Namun, semasa kejadian, sangat berbekas di hati ini.  Malu, geram dan marah bersatu.  Di suruh kita si junior menembak nyamuk di bawah katil, pastikan ada bunyi tembakan.  Allah saja yang tahu, bila perilaku kita di jadikan tontonan.  Mujur di zaman itu, tiada telefon bimbit yang boleh merakam peristiwa bersejarah, kalau tidak, hmm viral la kan.

Apa pun, setelah bertahun berlalu, pengalaman itu jadi ingatan.  Boleh ketawa sendiri dibuatnya.  Kepada mereka si senior saya sudah hapuskan kemarahan itu.  Saya anggap is satu gurauan antara adik dan kakak.

Kini, asrama dah tiada semua itu, saya kira.  Semoga anak-anak belajar dan tinggal di asrama dengan gembira.

~fauziahzainudin~

Friday 27 January 2017

Balik Kampung ke Felda?

Teks: Fauziah Zainudin

Talian internet sangat perlahan.  39 tahun saya hidup, lahir dan membesar di Felda Pasoh 2, Simpang Pertang, Negeri Sembilan.  Boleh panggil kampung ke? Orang kata Felda.  Saya panggil kampung juga.  Ye saya anak Felda.

Balik kampung, paginya sangat sejuk, walaupun sudah berubah tembok batu sejak lebih 20 tahun dulu, namun kesejukan pagi masih terasa.  Air kolah nak mandi pagi jangan cerita, menggigil nak pegang gayung air.  Tapi mak yang sentiasa taat bangun sebelum subuh tak pernah gagal untuk bersiram dengan kesejukan air kolah itu.  Walau kulit mak makin kendur, tak pernah perkataan sejuk terbit dari bibir mak.

Selepas subuh, pintu dapur seperti dibuka orang.  Sudah dengar bunyi "kur..kur..kur" memanggil ayam itik.  Siapa lagi? Kalau bukan mak? Ayam dan itik dah kenal sangat pitching suara mak.  Cuba orang lain yang memanggil, alamatnya, makan sendiri la nasi dan jagung tu.

Keseronokan balik kampung tak seperti dulu.  Dulu kami selalu balik ramai-ramai terutama yang belum berkahwin.  Meriah.  Kini, semua sudah punya anak-anak yang besar, belajar dan bekerja.  Kalau nak tunggu semua ada, InshaaAllah cuti Hari Raya.

Hmm..sarapan apa yang best pagi ini? Lempeng sodap ni cicah kuah gulai lemak rebung dan keli semalam.  Ah, lapar.


~fauziahzainudin~


Thursday 26 January 2017

Merentas Padang

Teks: Fauziah Zainudin

Pulang dari sekolah, abang Harith kata dia dapat nombor empat lari hari ini.  Wah, tahniah abang Harith.  Tapi ibu macam dengar tak dengar apa yang dibebelkan.  Kasihan dia.

Sambil makan malam, baru ibu tahu cerita sebenar.  Harith Daniel menang lari merentas padang hari ini.  Dapat nombor empat.  Oh, ye ke? Bukan merentas desa ke Harith Daniel?  Saya dah terbiasa memanggil dia dengan nama penuh, jadi dia juga membahasakan diri dengan nama penuh.  Betul lah, merentas desa untuk darjah 4, 5 dan 6.  Darjah 1, 2 dan 3 merentas padang sahaja, terang Harith Daniel.  Ibu fikirkan dia salah.  Hmm, ibu selalu tidak yakin dengan abang Harith.  Kasihan dia.

Dapat hadiah apa? Ibu tak nampak pun medal atau piala? Dapat botol air dan bekas pensel sahaja ibu.  Tak mengapalah, apa pun Harith Daniel dah buat yang terbaik.  Hafizi kawan Harith Daniel tu dapat nombor atas Harith Daniel.  Nombor berapa tu? Nombor tigalah.  Hmm, macam-macam ayat dia.

Baru ini pertama kali saya mendengar aktiviti merentas padang.  Dulu merentas desa waktu sekolah menengah sahaja.  Apa pun aktivitinya, semoga memberi impak kepada murid-murid.  Berilah hadiah apa pun, anak-anak tetap teruja.  Buktinya, bekas pensel dah diisi selepas dapat hadiah.  Anak-anak, memang begitu.

Esok ibu nak kejutkan Harith Daniel awal pagi sebelum subuh, lari keliling taman, mahu ke?  Betul ke ibu?  Tak larat nak menjawab, esok sahaja jawapan ibu berikan.  Dah, kemaskan baju sendiri, esok kita nak balik kampung.  Berdesup hilang, cepat pula dia bertindak.  Dah siap ibu!.  Allahu Akbar.




~fauziahzainudin~

Mainan Edukatif

Teks: Fauziah Zainudin
Foto: Sumber Google

Educational Toys, bila diterjemah menjadi Permainan Edukatif.  Maafkan jika terjemahan ini salah.  Tiada niat mencalar bahasa ibunda ini.

Permainan Edukatif merupakan permainan yang bertujuan merangsang daya berfikir anak-anak.  Permainan ini biasanya mengikut tahap umur anak-anak.  Seperti yang telah disarankan sebelum ini, pilihlah permainan yang tepat untuk anak-anak.

Bilakah waktu yang sesuai ibu bapa memberikan permainan edukatif ini kepada anak-anak?  Sebaiknya, seawal 2 tahun sudah boleh diberikan permainan edukatif ini.  Ini bagi merangsang daya pemikiran anak-anak.

Ketika anak-anak bermain, otak mereka akan menganalisa maklumat.  Semestinya ibu bapa perlu turut bersama ketika bermain untuk menjadi pengantara kepada anak.  Contoh, seorang ibu dan anak bermain mainan puzzle bentuk.  Si ibu perlu membantu anak buat pertama kali bagaimana bermain permainan tersebut.  Biasanya bentuk-bentuk akan berwarna warni, secara tidak langsung ibu akan memperkenalkan warna kepada anak-anak.  Tidak cukup sekali, ibu perlu mengulang permainan sehingga anak mahir dan boleh bermain sendiri.

Dengan bermain tadi, anak membina kemahiran motor halusnya, dengan memegang alat permainan.  Jemari anak menyentuh permukaan permainan, sensori motor akan berkembang.  Sensori motor termasuk sentuhan pada permainan, pergerakan semasa bermain dan pengulangan perlakuan.  Di sini anak tahu permukaan yang licin atau kesat.  Keseluruhan pancaindera digunakan semasa bermain.

Jadi, ibu bapa belilah permainan yang tepat untuk anak-anak.  Walaupun permainan edukatif tapi pastikan sesuai dengan tahap umur anak.  Lebih penting pastikan keselamatan alat permainan terjamin.

Selamat memilih permainan untuk anak-anak.
Selamat bercuti๐Ÿ˜Š๐Ÿ˜Š

~fauziahzainudin~

Wednesday 25 January 2017

Kinetic Sand

Teks: Fauziah Zainudin

Dulu-dulu, saya biasa main pasir kat rumah.  Masa main dengan kawan-kawan lepas balik dari sekolah agama atau semasa hari cuti.  Keseronokan yang tidak dapat diganti dengan apapun.  Seronoknya sampai mak panggil balik, hari dah senja pun tak dengar.  Seronoknya sampai mak dah sampai depan muka, kau main lagi?.  He he, seronok sekali.

Sekarang? Anak-anak main pasir lagi? Nak jugak kasi main pasir sekali sekala, apakan daya, pasir yang tiada.  Ah, kasihan anak-anak zaman sekarang.  Mainan mereka, telefon, iPad, komputer dan segala macam gajet yang tidak membantu motor halus dan kasar mereka.

Bila balik kampung, anak-anak sedikit pun tidak kisah dengan pasir.  Hmm, kalau pun mereka bermain pasir, sekejap lagi ada yang berteriak memanggil.  "Nanti kulit gatal lah, kuman lah, kotor lah" dan macam-macam alasan lagi.  Macam mana anak nak main pasir?

Teknologi berubah, kini wujud Pasir Kinetik yang dihasilkan daripada 98% Pasir dan 2% adalah polimer sintetik buatan manusia yang tidak berbahaya.  Jadi ia sesuai untuk anak-anak terutama 3 tahun dan ke atas.

Bermain dengan Pasir Kinetik ini sangat mudah, seronok dan melekakan.  Jadi anak-anak sudah tidak menghiraukan lagi iPad dan telefon serta mainan komputer.  Selain meningkatkan kreativiti, ia juga membantu pertumbuhan motor halus anak.  Bagaimana? Dengan menggunakan jemari mereka mengepal, membentuk pasir menjadi bentuk yang diingini.  Terdapat juga acuan yang tersedia untuk memudahkan anak-anak.

Dengan pasir ini, ibu-ibu tak perlu gusar bersepah.  Pasir ini melekat antara satu sama lain, jadi ia berkumpul bila di pegang.  Sangat mudah.  Jika basah terkena air, hanya jemur dan keringkan.  Ia tidak merosakkan pasir.

Tiba-tiba, pahlawan kecil ibu bangun.  Orang nak tidur, dia bangun pula.  Aduhai..

~fauziahzainudin~

Bon Appetite

Teks: Fauziah Zainudin

Saya bukan penunggu setia tv, bukan juga peminat drama-drama tv yang semakin teruk jalan ceritanya.  Tapi tidak dengan drama bersiri ini "Bon Appetite".

Ia bukan drama bersiri melayu, tapi drama bersiri tentang kehidupan masuarakat Jepun, di wilayah mana, saya tak tahu.  Baru beberapa siri saya tonton cerita ini.  Kenapa saya tonton? Kerana saya sukakan jalan ceritanya.  Saya suka menonton rancangan yang memberi nilai moral, menyuruh kita berfikir bukan syok sendiri.

Bon Appetite yang saya tonton untuk beberapa hari ini, dari kefahaman saya mengisahkan tentang keluarga Meiko dan Yutaro berlatar belakangkan zaman perang.  Makanan adalah keperluan dalam hidup, jadi manusia perlukan makanan.  Dalam siri ini, Meiko adalah seorang isteri dan ibu yang sangat suka kepada makanan, bukan suka makan.  Setiap hari dia menyediakan makanana untuk keluarganya.  Dia juga suka menyediakan kudapan atau makanan ringan untuk anak-anak di kawasan rumahnya.

Memang Bon Appetite berkisar tentang makanan.  Namun ia juga berkisar tentang kasih sayang dan kekeluargaan.  Meiko berusaha menjadi ibu yang terbaik.  Sentiasa memberi galakan kepada anak-anaknya.  Bila makanan dicatu Meiko sangat susah hati.  Sehingga dia membeli dari pasaran gelap untuk dapatkan sumber makanan yang terbaik.  Malangnya, usaha Meiko diketahui rakan-rakan dalam perkumpulan wanita, dia di sisih.  Alangkah sedihnya Meiko.

Ah, saya semakin suka menonton siri Jepun ini.  Waktu siaran hanya lah 15 min untuk satu episod.  Biasanya akan bersiaran sebanyak 2 episod.  Kini, ada kerahan tenaga oleh kerajaan Jepun.  Anak-anak Meiko perlu menjadi askar atau bekerja di kilang-kilang membuat senjata.  Meiko sangat sedih.

Berbagai dugaan dan rintangan perlu dilalui oleh Meiko.  Kisahnya seperti kisah hidup di dunia nyata.  Kekuatan seorang wanita.  Kisah ini juga mengingatkan saya pada drama bersiri Oshin suatu ketika dahulu.

Apapun, saya akan tunggu kisah seterusnya dalam Bon Appetite!!

~fauziahzainudin~

Tuesday 24 January 2017

Dropshipper Baru

Teks: Fauziah Zainudin

Alhamdulillah.
Dia rakan sejak sekolah di tingkatan 1 sehingga kini.  Dia rakan baik curahan hati.  Dia rakan sama-sama masuk dan keluar asrama.  Dia kini, jadi dropshipper saya.

Saya tahu, dia sebenarnya pengguna tegar minyak pati.  Namun dia biasa menggunakan minyak pati keluaran syarikat lain, yang lebih terkenal dan bertapak lama.  Minyak pati digunakan atas nasihat terapi untuk kesihatan anak lelakinya.

Saya tidak pernah mengharapkan dia menjadi dropshipper saya.  Cukuplah dia berani mencuba minyak pati keluaran muslim bumiputera ini pula, setelah sekian lama menggunakan yang lain.  Mahal katanya minyak pati yang dulu.  Almaklum jenama.  Tidak mengapa, murah pada harga, tidak bermakna kurang pada kualitinya, betul ke?

Saya gembira, mungkin dia dapat menjana sedikit pendapatan untuknya, memandangkan suami tersayang telah pergi menghadap Ilahi setahun yang lalu.  Dia cekal, dia tabah.  Dalam kesakitan diri sendiri, segalanya dilakukan sendiri.  Berdiri di atas kaki sendiri.

Mudah-mudahan dia terus cekal dan tabah.  Dia Fatimah Khamis yang saya kenali 17 tahun yang lalu.

~fauziahzainudin~

Monday 23 January 2017

Utamakan Keselamatan

Teks: Fauziah Zainudin

Sambil menulis, sambil tengok pahlawan kecil ibu bermain.  Sekejap dia pegang bola kain, kejap lagi dia ambil mainan lain.  Lepas gigit-gigit dia letak, mengembara ke tempat lain pula.  Sambil taip ibu perhatikan sahaja.  Lama sikit lagi dia capai pen ibu, buku nota ibu sempat terkoyak.  Oh Fateh, bahaya sayang.  Pada peringkat umur ini, Fateh akan capai mainan dan masuk mulut gigit.  Jadi, ibu kena pastikan mainannya bersih.

Antara keselamatan lain yang perlu kita titik beratkan ialah, saiz mainan untuk bayi, pastikan besar.  Lebih besar dari saiz mulut mereka, kenapa? Kerana mereka suka masukkan mainan dalam mulut kan.  Jadi mainan yang lebih besar akan mengelakkan anak tertelan mainannya.

Elakkan mainan bersisi tajam.  Sebelum membeli, ibu kena test dulu, sisi mainan boleh mencederakan bayi atau tidak.

Elakkan mainan bertali, benang atau pita yang panjang.  Ini dikhuatiri mainan akan terlilit pada bayi.

Pastikan sebelum membeli mainan, mainan tersebut diperbuat dari bahan apa.  Lambakan mainan di kedai-kedai mainan yang boleh kita perolehi dengan mudah.  Namun, awas pastikan ianya tiada bahan kimia berbahaya atau bukan mainan yang dicat.

Sebaiknya, belilah mainan yang boleh dibasuh selalu untuk menjaga kesihatan anak-anak.

Ok, cukup untuk hari ini.  Sampai jumpa lagi...

~fauziahzainudin~

Sunday 22 January 2017

Tepat kah Mainan Si Manja Kita?

Teks: Fauziah Zainudin

Ibu dan ayah pasti tidak sabar membelikan mainan untuk si manja mereka kan?  Rata-rata ibu dan ayah akan mula memberikan anak mereka mainan apabila 2 hingga 3 bulan ke atas.  Anak masih belum boleh memegang pun ada yang telah diberikan mainan.  Terujakan? Ye, saya juga begitu sehingga kita salah membeli mainan.

Tips utama pemilihan mainan anak, pastikan mainan yang dibeli TEPAT.  Tepat macam mana? Contoh, anda membeli mainan untuk anak yang berumur 6 bulan.  Mainan itu perlulah sesuai mengikut kemampuan dan perkembangan si anak.  Jika si anak berumur 6 bulan, mainan apakah yang sesuai?

Pastikan mainan itu berwarna cerah, kontra dan berwarna warni.  Kenapa? Kerana bayi akan sukakan warna yang terang, jika ia berbunyi bayi akan lebih suka.  Ini bertujuan merangsang penglihatan dan pendengaran bayi.

Ok, baik cukup dulu, nanti kita sambung dengan tips yang lain ye.  Jangan tau ibu!

~fauziahzainudin~

U Are So Friendly

Teks: Fauziah Zainudin

Sebagai penjual dalam talian, kita perlu bijak menyusun ayat dan menaipnya dengan betul.  Pelanggan yang membaca setiap hari, tidak sama.  Ada yang membaca dengan nada rendah, ada juga yang membaca dengan nada tinggi setiap baris ayat kita.  Pelanggan sentiasa betul, walaupun kadang kala dapat yang sangat merimaskan.  Sabar dan tawakkal.

Pengalaman saya melayan pelanggan dalam talian, Alhamdulillah, sangat menyenangkan.  Mudah di sapa, mudah bertanya, mudah untuk memberi penerangan tentang produk.

Sebulan yang lepas, saya melayan seorang pelanggan barangan permainan kanak-kanak.  Beliau seorang guru Pra sekolah.  Guru berbangsa India itu, tinggal di pedalaman Sabah.  Beliau sangat ramah dan mudah dilayan segala pertanyaannya.  Beliau membeli mainan berkonsepkan pendidikan untuk anak-anak muridnya.

Sambil itu, kebiasaannya saya akan beramah mesra dengan pelanggan, supaya lebih mudah dapatkan maklumat apa yang ingin dicari oleh mereka.  Pelanggan ini mungkin rasa janggal, tapi akhirnya dia dengan senang hati membeli beberapa permainanan pendidikan yang saya jual.  Katanya, dia tak pernah jumpa lagi penjual online yang ramah.  Saya penjual pertama yang ditemuinya.  Wah, rasa gembira pula dipuji.  Apapun, berbudi bahasa itu amalan kita masyarakat melayu.

Yang Kurik itu Kundi,
Yang Merah itu Saga,
Yang Baik itu Budi,
Yang Indah itu Bahasa.

Salam jumpa lagi..

~fauziahzainudin~

Saya Sayang Cikgu

Teks: Fauziah Zainudin

Tahun 1985, saya di dalam darjah 1.  Saya masih ingat nama guru kelas waktu itu, Cikgu Adnan.  Cikgu Adnan kurus orangnya, tinggi dan berkulit tak hitam tak putih, sawo matang kata orang.  Selalu kemas penampilannya.

Cikgu Adnan, cikgu yang baik, berlemah lembut bila bercakap.  Tapi saya lupa matapelajaran apa yang di ajarnya.  Takpelah ye.  Saya tidak pasti beliau masih hidup atau tidak, memang tidak pernah saya dengar kini cerita tentangnya.

Saya bukan ketegori anak manja, namun bila ke sekolah, saya selalu menangis.  Hehe, rasa sedih tinggalkan mak di rumah.  Selain itu, saya berbeza kelas dengan rakan karib merangkap jiran sebelah rumah.  Lalu saya mesti menangis.

Cikgu Adnan pula akan memujuk saya, menyisir semula rambut saya dan mengelap air mata yang tumpah.  Baik sangat.  Setiap hari begitu, sehingga saya lupa bila saya berhenti menangis.  Saya sayang cikgu, semoga cikgu diberikan ganjaran setimpal atas segala jasa cikgu mendidik anak-anak kampung.

Kenangan zaman kanak-kanak adalah yang paling indah.


~fauziahzainudin~

Fateh Skip Merangkak?

Teks: Fauziah Zainudin

Nampaknya, pahlawan kecil ibu macam nak dapat kaki dulu jer.  Oh, jangan skip merangkak ye sayang.

Dia dah mula panjat sofa dan tempat-tempat rendah.  Dapat mencapai dan berpaut sudah buat dia sangat gembira.  Senyumnya lebar, gembira tak terkata.  Nampak gayanya macam nak berjalan.  Takpelah, nanti kita tetap kena train merangkak ye Fateh.

Kini, setiap hari kena tengok dia.  Tak boleh biarkan keseorangan.  Jika dia sedang memanjat sofa, dia akan berdiri mencapai apa sahaja yang ada.  Penat berdiri, dia akan duduk, saat mahu duduk, dia tak tahu bagaimana nak lepaskan tangan yang sebelah.  Cara paling singkat, Fateh menangis, minta di dudukkan.  Hmm, senang.

Hehe, setiap hari juga akan menangis akibat terjatuh.  Aduh, paling kasihan, bila kepala terjatuh ke lantai.  Allah, selamatkan lah Al-Fateh.  Sekejap cuma tangisnya, kemudian, panjat lagi.  Memang tidak serik.  Cuba dan terus mencuba.  Muhammad Al-Fateh penakluk hati ibu.๐Ÿ˜Š
Sekarang, dia sedang tidur.  Ibu boleh buat kerja lain.

~fauziahzainudin~


Wednesday 18 January 2017

Ku Jejak Langkah Mu Duhai Kekasih Allah

Teks: Fauziah Zainudin
Foto: Koleksi Peribadi

Selawat dan Salam ke atas Rasul Junjungan Nabi Muhammad SAW.
ุงู„ู„ู‡ُู…َّ ุตَู„ِّ ุนَู„َู‰ٰ ู…ُุญَู…َّุฏٍ ูˆَุนَู„َู‰ٰ ุงٰู„ِ ู…ُุญَู…َّุฏ

Rasulullah dalam mengenangMu,
Kami susuri lembaran sirahMu,
Pahit getir, perjuanganMu,
Membawa Cahaya Kebenaran..

Ya, tanggal 17 Mac 2016, Allah menjemput saya, suami dan kedua mertua menunaikan ibadah umrah.  Syukur Ya Allah, detik yang sangat dinantikan sekian lama.  Kata suami, dia sudah lama berniat membawa mak dan abahnya.  Alhamdulillah, Allah izinkan.

Namun, biar saya teruskan dengan kisah pada 18 Mac 2016, keesokkan harinya.  Ahli rombongan kami dalam kiraan 40 orang sahaja, tidak ramai.  Ada warga emas, dewasa, remaja dan kanak-kanak. Hari kedua kami dibawa melawat jejak peninggalan Rasulullah dan tempat-tempat bersejarah dalam Islam.

Mari saya bawakan jejak langkah kami menuju gua yang tidak perlu diperkenalkan lagi.  Petangnya saya, suami dan kawan-kawan abah menjejak langkah Kekasih Allah itu.  Kami bertolak menaiki sebuah Toyota Avanza yang disewa khas oleh mutawwif kami.  Perjalanan sejauh 3.2 km sahaja.  Dekat atau jauh pada pandangan kita?  Rasulullah berjalan kaki, manakan sama dengan kami yang berkenderaan dan berhawa dingin? Allahu..

Gua Hira' terletak di atas Jabal Nur.  Berketinggian 270m lebih kurang 600 anak tangga.  Kelebaran Gua Hira' 1.60m dan tingginya 3.7m.  Bayangkan Rasulullah bersendirian memanjat anak-anak tangga menuju Gua Hira' yang kedudukannya terletak pada tebing yang curam dan berbatu.  Rasulullah bersendirian di sini, bermunajat kepada Allah selama lebih kurang 3 Tahun. Berulang-alik, kadangkala bermalam.  Di sinilah Rasulullah menerima wahyu pertama dari Jibril.

Jabal Nur boleh dikategorikan tidak tinggi, namun untuk sampai ke puncak perlu melalui lereng-lereng dan jalan batu yang kering berdebu.  Ada masa kami berhenti rehat dan melihat pemandangan dari atas.  Di dalam kumpulan kami ada rakan abah yang sakit kaki, namun tetap bersemangat untuk mendaki.  Bagi pendaki yang sudah biasa mungkin tiada masalah, tapi bagi kami yang tidak selalu mendaki mencabar fizikal dan mental.

Di tepian tangga batu itu ada masa terlantar peminta-peminta sedekah.  Di satu laluan, kami fikirkan peminta sedekah itu tidur, rupanya tidak.  Tatkala kami melalui nya, spontan laungan "Malaysia Boleh" kedengaran.  Eh, saya yang pertama kali menghadapi situasi itu memang terkejut.

Semakin hampir ke puncak, jalan semakin agak curam dan sempit.  Orang turun dan naik bertali arus.  Sempat pula berhenti bila disapa seorang wanita yang berasal Sabah.  Berkenalan dan bergambar pula.

Akhirnya puncak Jabal Nur dapat kami jejaki.  Ya Rasulullah, kami jejaki langkah Mu.  Syukur Ya Allah, Rasulullah pembaca Rahmat sekalian alam.  Saya mengambil masa duduk sejenak sebelum turun semula.  Pintu Gua Hira' penuh dengan manusia.  Mereka berusaha untuk bersolat sunat di dalamnya.  Cukuplah kami memandang, jangan ditempah maut yang tidak diundang.  Jaga keselamatan lebih utama.  Bertolak-tolakan, berebut bukan itu yang Rasulullah inginkan.  Dimana pun kita berselawat lah untuk mendapat syafaat Baginda.  Malu Rasulullah tengok, inikah umat Baginda?




Gdex Oh Gdex

Teks: Fauziah Zainudin

Sebagai penjual online, rata-rata tahu, Gdex salah sebuah syarikat servis penghantaran.  Nak kata biasa tu, tak, nak kata tak biasa tu, tidak juga.  Bukan semua pelanggan saya gunakan khidmat Gdex. Satu dua pelanggan sahaja.  Kenapa? Oh sebab pelanggan yang minta katanya Pos Laju selalu tak sampai di rumahnya, alih-alih tinggalkan notis sahaja, walhal penghuni ada dalam rumah.  Oh, ok kita terima.

Pengeposan dibuat 10 Jan yang lalu, sehingga 15 Jan masih belum sampai barang ke tangan pelanggan.  Aduh, saya pula lupa memberikan tracking number kepada pelanggan.  Apabila pelanggan yang mula mesej peribadi "barang akak tak sampai lagi, dah pos ke belum ye?".  Masa tu macam ada batu terhempap di muka.  Kakak ini pelanggan saya yang paling mudah memesan dan membayar, tak perlu "diskaun takde ke?".  Selain itu, beliau sangat merendah diri.  Saya berkenalan dengannya kerana kawannya yang lain.  Saya mencuba mendekatkan diri dengan aktiviti Amal.  Program Sehelai Baju yang memperkenalkan kami.

Jadi, terasa malu bila pelanggan tidak banyak masalah, tiba-tiba penjual yang bermasalah.  Saya memohon maaf atas kecuaian tidak memberikan tracking number.  Kebiasaannya, penghantaran melalui Gdex memakan masa 1 hari sahaja.  Tidak pernah jadi begini.  Saya menelefon Pusat Khidmat Pelanggan, namun hampa.  Tiada yang menjawab panggilan.  Cuba lagi. Tengah hari cuba lagi.  Petang cuba lagi.  Semuanya tiada jawapan.  Pasrah.

Mungkin bukan rezeki saya, esoknya saya mesej peribadi pelanggan, saya katakan andai pesanan tidak diterima dalam masa 24 jam itu, saya gantikan yang baru nanti.  Pelanggan tidak marah, menerima kata putus saya, malah turut memesan barangan lain pula untuk dipos bersama.  Allah, malu sangat rasanya saya.  Benar-benar malu.

Tepat 1:07 minit tengah hari, pelanggan pula menghantar mesej peribadi kepada saya.  "Wytie dah sampai".  Alhamdulillah, syukur.  Lega sangat.  Wytie tu bukan nama orang tapi antara produk Aromaterapi yang saya jual.  Barulah boleh senyum.  Penghantaran pesanan yang baru akan dijadualkan jumaat pula.

Gdex oh Gdex, saya faham lambakan barang menjadikan pekerjanya terpaksa bekerja lebih untuk memberi kepuasan kepada pelanggan.  Namun, telah ditulis nombor telefon pelanggan bagi membolehkan mana-mana pihak courier service menelefon pelanggan andai kata pelanggan tiada di rumah waktu itu.  Ini juga pengajaran buat saya, sila maklumkan pelanggan sebaik sahaja barang pesanan beralih tangan ke tangan pekerja servis penghantaran.  Baik, InshaaAllah.



~fauziahzainudin~

Tuesday 17 January 2017

Saya dan Resdung

Teks: Fauziah Zainudin

Eh, pahlawan kecil dah bangun pula.  Takpe biarkan dia main-main sementara dia senyap.  Cukup dia nampak muka ibu, meronda ke dapur ke, ruang tamu ke, ruang tv ke tidak mengapa padanya.

Ok, sebenarnya saya teringin untuk bercerita tentang demam yang melanda.  Asalnya saya memang mengalami resdung.  Boleh dikatakan teruk.  Penghujung 2008, batuk dan selsema yang tidak berhenti selama lebih 3 bulan menjadikan saya risau.  Sudah puas ke klinik, samada panel atau tidak, namun ubat habis, selsema dan batuk datang semula.  Badan jadi lemah seolah-olah nak demam, tapi tak demam.  Kepala selalu sakit dan pernafasan tidak selesa.

Akhirnya, saya di rujuk ke Hospital Pakar Abd Samad, Johor.  Alhamdulillah, doktor yang direkomen oleh doktor panel sangat baik.  Dr. Lee namanya.  Beliau membaca sejarah perubatan yang ada dari doktor panel.  Akhirnya, katanya "sinus"!.  Sinus? Resdung? Ye ke doktor? Wah, tidak percaya pula, tapi tak salah bertanya kan.  Dr. Lee menerangkan segala simptom dan gejala, memang sama dengan yang saya alami.  Katanya lagi, saya perlu di tahan wad untuk pemeriksaan lanjut dan mungkin minor operation juga perlu.  Allah, bedah? Takutnya.  Kalau tak bedah doktor? Degil pula.

Selepas pemeriksaan lanjut dan CT scan, saya dimaklumkan nanah dan darah yang terkumpul telah berkumpul ke bahagian depan kepala, jika ia berkumpul di belakang kepala lebih bahaya mengganggu fungsi otak.  Seteruk itu ke resdung? Bunyi menggerunkan.
Pahlawan kecil saya tersepit celah tempat baju, apalagi teriak la dio.  Aduhai. Sekejap kita iklan.

Ok, settled pahlawan kecil.  Di mana kita?
Hmm, dipendekkan cerita saya perlu ditahan wad dan jalani pembedahan kecil.  Redha, nak baik cepat kan.  Akhirnya, segala nanah dan darah dikeluarkan, doktor siap tunjuk specimen tu kat saya.  Erk..

Tapi, awas walaupun sudah dibuang, sinus boleh menyerang jika tidak menjaga makan dan benda yang kita alah.  Macam saya, hanya alah pada cuaca sejuk dan habuk.  Bila tiba musim hujan macam ni, memang akan standby Theraupetik Oil Sinusitus.  Saya tak gunakan lagi ubat hospital, saya hanya gunakan TO tersebut kerana ia natural bersumber tumbuh-tumbuhan.

Oh, ok.  Cukup sudah, pahlawan kecil menangis lagi kali ini terlanggar tangga.  Sampai jumpa lagi ye๐Ÿ˜Š

~fauziahzainudin~

Kalau lah Sihat

Teks: Fauziah Zainudin

Alhamdulillah, barulah terasa sedikit ringan badan dan kepala subuh ini.  Allah beri ujian demam, tanda Allah sayang.  Terima kasih Allah.

2 hari demam, badan sangat-sangat lemah.  Terasa segala sendi ketat bak kehabisan minyak pelincir.  Sedihnya, kalau lah sihat ni, semua kerja akan beres, InshaaAllah.  Baju lambat dimasukkan dalam mesin, lambat pula dijemur.  Anak-anak pokok kena tunggu petang ayah balik tolong siramkan.  Pagi-pagi memang ayah tak ingat, almaklum.

2 hari demam, 2 hari juga kami kesiangan.  Kebiasaannya jam 5 ibu sudah buka mata, tapi 2 hari ini, sukar lelapkan mata akibatnya kesiangan.  Kasihan, hanya ada air minuman tanpa sebarang sarapan dihidang.  Kalau lah sihat, memang ibu buat sarapan, walaupun paling malas roti sapu planta.  

2 hari demam, ibu order sahaja dengan ayah belikan bubur dan aiskrim sebab tekak menolak segala makanan.  Pagi-pagi ibu makan kurma, lega sikit perut.  Pun begitu bubur tak mampu nak dihabiskan, simpan pula nanti makan.  Aiskrim vanilla tak terasa kesejukannya.  Allahu Akbar.

Bila sakit, semua nikmat Allah tarik.  Nikmat makan, nikmat tidur, nikmat bercakap pun hilang juga. Ampun kan hambaMu ini Ya Allah.  Sesungguhnya engkau yang memberi kesakitan dan engkau jua yang menyembuhkannya.  Aamiin.

Alhamdulillah, pagi ini terasa semangat sikit untuk melakukan kerja-kerja yang tertunggak.  Nak kena keluarkan peluh pagi ini, sambil siapkan tugasan yang menanti sambil senam ringan dalam rumah.  Boleh kan.

InshaaAllah, kita jumpa semula nanti.๐Ÿ˜Š

~fauziahzainudin~

Sunday 15 January 2017

Inspirasi Bekerja di Rumah

Teks: Fauziah Zainudin


Tangan yang menghayun buaian, mampu menggoncang dunia.  Wanita, sumber inspirasi.  Mak kita pastinya sumber inspirasi diri kita sendiri.

Kenapa mereka menjadi inspirasi? Kerana mereka mengharung perit getir dalam sesuatu perjuangan untuk mendapatkan kejayaan.  Kejayaan tidak diukur dari banyaknya harta yang dikumpul, atau banyaknya medal yang diperolehi.  Kepuasan hati dalam membuat sesuatu juga boleh menjadi kejayaan pada seseorang.

Membaca Ebook Inspirasi Bekerja di Rumah ini sepertinya membaca luahan hati wanita yang bergelar ibu, mak, mommy dan umi dalam meningkatkan taraf ekonomi mereka selain usaha untuk melestarikan minat dan bakat mereka.  13 orang ibu yang bekerja di rumah.  Sangat menarik dan meruntun jiwa.  Mereka sangat kuat dan cekal, tatkala membacanya, membuatkan saya berfikir "mampukah aku jika berada di tempat mereka?".  Hanya doa di panjatkan ke hadrat Ilahi, semoga Dia permudahkan segalanya.

Boleh disimpulkan disini secara kasarnya, banyak elemen-elemen penting yang perlu dititik beratkan dalam usaha mereka untuk berjaya.  Minat dan bakat antara point penting yang banyak ditulis di dalam ebook ini.  Namun, seandainya seseorang itu tiada atau tidak tahu bakat apa yang dia ada, pastinya minat untuk melakukan sesuatu itu menjadi tonggak utama.

Sokongan ahli keluarga, orang tersayang saya kira juga sangat penting.  Dengan sokongan dan dorongan ahli keluarga, menjadikan ibu-ibu lebih bersemangat dan kuat.  Di sini juga letaknya cabaran dalam bekerja di rumah.  Keluarga, bisnes dan rutin rumahtangga perlu diurus sebaik mungkin.  Waktu yang tepat perlu di tentukan untuk melakukan kerja tersebut.  Jadi, waktu ini, jadual dan perancangan kena ada dan betul.  Benar-benar mencabar rasanya.

Saya suka membaca inspirasi dari Puan Hayati Mohd seorang peniaga yang bermula dengan jualan di jalanan.  Bayangkan, saat orang lain yang juga bekerja dari rumah, menguruskan jualan dan hal bisnes di rumah, namun tidak bagi Puan Hayati.  Dia sangat cekal, kuat dan bersemangat.  Beliau mengetepikan perasaan malu bila berjualan.  Selain sangat terbuka menerima maklum balas, pandangan dan pendapat pelanggan serta penjual yang lebih tua darinya.  Alhamdulillah berkat kecekalannya, beliau mampu bertahan.

Seorang lagi ibu yang berniaga bazar, Puan Nasriah Abdullah.  Membaca inspirasinya membuat saya rasa sedih.  Saya membayangkan beliau dari golongan berpendapatan sederhana.  Tapi beliau sangat berani mencuba.  Tekad beliau ketika kali pertama berbazar sangat saya kagumi.  Saya pernah berbazar, memang macam-macam rasa ada dalam diri, malu, takut, segan, risau dan segala rasa yang negatif.  Terasa sangat sukar untuk membuang rasa-rasa negatif itu.  Puan Nasriah sangat positif, walau seorang diri, beliau tetap mencuba.  Kalau bukan sekarang bila lagi kan?  Kalau tak cuba, kita tak tahu.  Selain doa iringan doa dan tawakkal pada Allah.

Ilmu, pelan pemasaran, idea, modal dan diri sendiri juga tidak ketinggalan menjadi elemen yang perlu dititik beratkan dalam bekerja di rumah.  InshaaAllah, dengan inspirasi 13 ibu hebat ini, mereka-mereka yang membacanya pasti akan terinspirasi untuk memulakan langkah pertama.  Ayuh, pandang ke depan, jalan seiring.

Sampai jumpa lagi ye.

~fauziahzainudin~

Saturday 14 January 2017

Oh! Saya Surirumah

Teks: Fauziah Zainudin
Foto: Koleksi Peribadi

Bila bergelar suri rumah, terasa macam-macam ibu nak buat.  Nak buat sarapan pagi-pagi, nak buat bekal untuk abang Harith.  Nak tanam anak-anak cili, kesum, kari dan pokok lain yang sentiasa digunakan dalam masakan. Mampukah?  InshaaAllah.

Johor dah mula sesi persekolahan pada 1 Jan 2017. Tahniah! Anak-anak yang bersemangat bangun pagi untuk ke sekolah.  Ada yang menangis ke? Itu biasa, normal kata orang.

Rabu, 4 Jan 2017, macam hari-hari sebelumnya, ibu kena siapkan sarapan seawal 5 pagi.  Wah! Rajin kan? Seragam sekolah dan kerja ayah dah siap digosok malam semalam.   Selepas Harith Daniel dan ayah sarapan dan bergerak ke sekolah, jam 6:30 pagi biasanya pahlawan kecil ibu kena tidur semula.  Kalau tak, alamatnya tergendala lah kerja ibu.  Harith Daniel ke sekolah dengan van, jadi dalam perjalanan ayah akan hantar Harith ke tempat menunggu.

Oh, lupa, ibu kena siram anak pokok kari, kunyit dan kesum yang baru menjengah dunia.  Moga hidup subur ye.  Bukan apa, azam tahun baru ibu termasuklah menanam pokok-pokok tersebut.  Jadi tak payah beli lagi lepas ni.

Sejak tak bekerja juga, ibu kena maintain masak lunch.  Walaupun ayah tak balik lunch, tapi kadang-kadang ayah muncul tanpa dijangka.  Jadi lebih baik bersedia. Masaklah dari hati, masak dengan iman kata Chef Ammar.  InshaaAllah

Hari ini juga, hari pertama ibu join Kelas Asas Penulisan Blog.  Sangat teruja dalam debaran.  Apakah yang perlu dilakukan?  Boleh ke ibu menulis? Allah, terangkan hati ini, permudahkan untuk menulis dan mengeluarkan idea untuk tatapan dan manfaat pembaca.  Semoga apa yang dicoretkan memberi nilai tambah kepada pembaca.  Aamiin.

Setiap hari juga, ibu perlu siapkan to-do list.  Dah namanya online seller kan, jadi perlu sentiasa update fanpage (jika ada), update fb, review potential customer dan follow-up pelanggan sedia ada.  Nampak macam kerja ofis pula kan.  Apa pun ini pilihan saya, walaupun nampak susah, tapi seronok.  Dapat sentiasa berada di rumah, semuanya boleh dibuat sendiri.

Menjelang senja, semua dah ada di rumah.  Ok, masa untuk tengok abang Harith mengaji sementara tunggu waktu solat.  Malam, memang tugas ibu tengok homework anak, prepare untuk esok kalau ada order customer dan pastikan pahlawan kecil tidur dengan lena.

Rutin seorang suri rumah, paling awal bangun dan paling akhir tidur.  Demi keluarga, lakukan dengan ikhlas.  InshaaAllah ganjaran yang besar Allah berikan.

Semoga esok, mentari bersinar dengan penuh cahayanya.  Assalamualaikum.

Friday 13 January 2017

Saya dan Dunia Pekerjaan

Teks: Fauziah Zainudin


Mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan bidang yang dipelajari bukan mudah, tapi tidak juga mustahil.  Sebelum melangkah ke alam Institusi Pengajian Tinggi, saya pernah bekerja di kilang.  Selepas habis SPM, saya mengikut abang yang tinggal di Johor.  Bekerja sebagai operator pengeluaran di kilang yang sama dengan abang.  Dengan gaji RM350, masa tu, sangat lah banyak dan begitu berharga.  Almaklum tidak pernah mendapat wang sebanyak itu sebelum ini.  Genap sebulan bekerja, saya dipanggil untuk mendaftar ke Politeknik Sultan Ahmad Shah, Kuantan.  Dengan sedikit wang yang ada dapatlah membeli beberapa barang peribadi yang diidamkan.  Banyak juga pengalaman yang dapat dikutip semasa bekerja, ditambah dengan rakan-rakan sekerja yang baik hati. Kenangan itu tidak saya buang, malah saya simpan jadi pengalaman dan pengajaran.

Sehabis menamatkan pengajian di poli, saya bekerja pula di tempat abang ipar di Selangor.  Kerani di sebuah syarikat yang menguruskan pengangkutan barang dari kargo ke syarikat-syarikat lain.  Banyak berurusan dengan pihak kastam dan perkhidmatan pengangkutan seperti MAS, GARUDA dan lain-lain.  Gerun juga, hari pertama menjejak kaki, setiap orang sangat sibuk dengan telefon.  Bunyi deringan telefon sepertinya tidak berhenti-henti.  Nak buat apa ni? Semua orang sibuk?  Sehinggalah saya di ajar cara menjawab telefon oleh senior.  Kelakar juga ye menjawab dalam bahasa inggeris, lama kelamaan jadi biasa apabila ayat yang sama diulang berkali-kali setiap hari.  Betul lah kan Practice Makes Perfect.  Tapi 2 minggu saja saya di syarikat itu, apabila panggilan ke UTM pula diterima.  Alhamdulillah.

Courts Mammoth, nama sebuah syarikat menjual perabot dan barangan elektrik yang tidak perlu diperkenalkan lagi.  Saya memohon bekerja di sana, sebagai Kerani Admin.  Masih saya ingat Pengurus Wilayah Selatan yang menemuduga saya, Mr. Jessu. Baik orangnya, nampak garang tetapi kelakar dalam ketegasan.  Saya ditawarkan jawatan Penyelia tetapi di cawangan negeri lain.  Memikirkan tempat yang jauh, seorang diri dan belum mempunyai pengalaman dalam penyeliaan, saya menolak dengan baik.  Namun kata Mr. Jessu, "she have a talent".  Saya diterima bekerja sebagai Cashering Clerk kerana Admin Clerk tiada di cawangan yang kecil.  Jadi bermula lah pengalaman sebagai cashier dan merangkap kerani.  Alhamdulillah, rakan sekerja semuanya baik belaka.  Di sini, saya belajar bagaimana meminta wang dari pelanggan.  Bunyinya sangat menakutkan, mana mungkin pelanggan nak beri wang sesuka hati.  Namun, wang diminta dari pelanggan yang membeli tetapi kemudian diam tidak membayar.  Bukan setakat kemarahan yang diterima, herdik dan maki kadang-kala didengari.  Allah, risau dan takut dibuatnya.  Namun, bila bekerja kerana Allah, Allah sentiasa bantu.

3 bulan di Court Mammoth,  saya beralih ke sebuah syarikat konsultansi ISO dan latihan.  Di sini selain menawarkan khidmat konsultansi dan latihan, syarikat turut menawarkan kursus pendek komputer dan SKM.  Alhamdulillah, saya selesa di sini.  Rakan yang sentiasa membantu dan majikan yang sentiasa memberi ilmu.  Sedikit sebanyak di sini, bermula pendedahan dalam berkomunikasi.  Ye, sentiasa perlu berurusan dengan pihak atasan kilang-kilang kerana saya membantu menyediakan dokumentasi ISO, dari 9001 hingga 14001 dan kursus pendek.  Mulanya tak faham apa itu ISO 9001, 14001.  Setelah belajar dan bekerja barulah saya tahu, ISO 9001 adalah Sistem Pengurusan Kualiti yang telah ditetapkan standard nya.  Seronok bekerja dan berkawan, sedar tak sedar 5 tahun berlalu.  Disebabkan syarikat berpindah ke tempat lain, saya pula berkahwin dan mengikut suami berpindah ke daerah lain, saya melahirkan rasa untuk berhenti kerja.  Eh..panjangnya coretan pengalaman, tanpa sedar, hari sudah meninggi.  Kita sambung nanti ye.

Sambil layan pesanan pelanggan, sambil kemaskini pengalaman ye.  Pekerjaan saya yang terakhir sebelum bertukar status suri rumah sepenuhnya ialah, guru tadika.  Sejak berhenti pada 2005, saya memikirkan untuk mencari kerja berhampiran dengan rumah.  Saya memohon kerja di sebuah tadika. Tadika Bijak Fikir, di sinilah segalanya bermula.  Awal kerja, agak memenatkan, almaklum perlu melayan hampir 15 orang anak-anak yang aktif.  Belum lagi keseluruhan anak-anak yang ada jika tadika mengadakan aktiviti luar.  Namun, selepas semuanya balik, penat hilang.  Setelah melihat peningkatan mereka dalam pelajaran dan sosio emosinya, terasa sangat berbaloi. 

Digigit, ditarik tudung, dirempuh kerana nak lari, itu semua asam garam dalam pendidikan awal kanak-kanak.  Demi untuk meningkatkan ilmu dalam bidang ini, saya mengambil kelas hujung minggu PJJ.  Menghadiri kursus-kursus berkaitan psikologi, emosi dan kemahiran-kemahiran lain yang diperlukan dalam menangani anak-anak.  Alhamdulillah, sedikit sebanyak sangat membantu.  Anak-anak suka bermain, jadi sebagai guru dan ibu juga, saya kena tahu, macam mana nak tarik minat anak-anak belajar tapi semasa bermain.  Susah ke? Awalnya memang payah, tapi akhirnya inshaaAllah mudah. 

Belajar tidak semestinya duduk di dalam kelas, pegang pensel dan buku.  Anak-anak tidak boleh fokus pada sesuatu benda terlalu lama.  Jika terlalu lama, mereka akan bosan.  Saya pernah mengajar seorang anak yang aktif.  Dia tak suka disuruh buat itu dan ini.  Dia hanya akan buat, jika dia nak buat.  Jika saya memaksanya, dia akan mengamuk dan menyerang saya atau guru lain.  Maka, jika saya sudah nampak ada unsur-unsur kebosananan, stop the class, let's sing a song.  Kelas akan ceria kembali.  

Saya juga suka mengadakan games untuk anak-anak ini.  Antaranya melompat di atas kertas besar yang tertulis huruf-huruf.  Apa yang tersurat mereka belajar huruf dan membina motor kasar melompat.  Namun yang tersirat? Melatih mereka bertolak ansur, berfikir sebelum melakukan lompatan, bergilir-gilir menunggu giliran dan bermacam lagi.   Banyak lagi permainan lain yang boleh direka untuk anak-anak ini.  Kata bijak pandai, Kanak-kanak itu jiwanya bermain.  

Kini, setelah tidak lagi mengajar anak-anak tadika, masih ada ibu bapa yang saya kenali memanggil saya 'Cikgu'.  Rasa segan juga, alah cikgu tadika jer pun.  Tapi betullah, jika bekerja sebagai pengurus, orang tidak memanggil kita pengurus, mungkin encik atau tuan.  Tetapi guru, orang akan tetap panggil 'Cikgu'.  Semoga Allah membalas yang baik atas apa yang saya lakukan.  Semoga tugas guru itu Allah menjadi amal jariah yang berpanjangan.  Aamiin.

Oh, cukup sudah sampai disini, lain kali sambung lagi.
Assalamualaikum.

Bisnes Kecil-kecilan saya

Teks: Fauziah Zainudin

Jual?  Bermacam rasa dan perasaan muncul saat pertama kali disyorkan menjual oleh mak.  Malu, takut, segan bercampur menjadi satu.  Malu nanti kalau tiada siapa yang mahu beli jualan saya.  Takut kalau cikgu tahu, jualan akan dirampas, macam mana nanti kalau cikgu marah?.  Belum cuba belum tahu kan?.  Saya bermula dengan jualan sagun buatan mak ketika di sekolah rendah, dalam darjah 5.  Pada mulanya, sekadar untuk mencari duit belanja harian sekolah.  Tahun 1989 belanja 20sen sudah cukup, sementelahan lagi abang dan kakak juga bersekolah.  Saat itu hidup di Felda tidak mewah, ibarat kais pagi makan pagi.  Abah juga melakukan kerja luar iaitu menoreh getah.

Biasanya sagun dijual di sekolah pagi sekolah agama petang.  Saya akan mengambil order terlebih dahulu sehari sebelumnya.  Dengan 10 batang sagun boleh menghasilkan RM1 hasil jualan jika habis terjual.  Biasanya hasil jualan sehari lebih kurang RM2-RM3.  Alhamdulillah, hasil jualan akan diserahkan kepada mak untuk 'rolling' semula dan belanja harian ke sekolah.

Bukan hanya sagun, saya turut menjual hasil tanaman buah-buahan abah.  Mangga, kuini dan jambu air di keliling rumah menjadi sasaran jualan saya, kakak dan abang.  Seronok menjual kerana pernah hasil jualan yang dikumpul dapat membeli sehelai skirt kesukaan saya.  Tanpa sedar sebenarnya, ia menjadi satu latihan untuk berdikari.  Selain itu turut menjadikan saya sedikit berani berkomunikasi.  Saya juga pernah menjual cili dan jagung hasil tanaman di kebun abah.  Saya akan bergerak dari rumah ke rumah seperti salesgirl dan salesman sekarang.  Ketika itu, hasil jualan bukan setakat sen-sen, tetapi mencecah puluhan ringgit.  Wah! seronok dan gembira.

Bisnes online saya bermula pada 2012.  Menjual pakaian wanita, berupa baju kurung cotton keluaran Glory Collection.  Sekadar suka-suka pada mulanya, saya mendaftar sebagai dropshipper, yang mana tidak perlu menyimpan stok, hanya membuat promosi jualan dan mencari pelanggan.  Itu lebih mudah, jadi saya menjadi dropshipper selama beberapa bulan.  Melihat permintaan yang sangat baik, saya berusaha menjadi agen.  Agen perlu mengambil stok, tetapi boleh menjual di dalam kumpulan yang diletakkan ramai agen selain menjual offline.  Saat menjelang Hari Raya adalah saat yang sangat mengujakan.  Bayangkan baru 1 Ramadhan, orang sudah sibuk mencari baju raya.  Selain menjual di dalam kumpulan, kami juga dapat berkongsi tips-tips menjual.  Seronok mendapat pengalaman dan kawan baru.  Namun, 2014 saya berhenti menjual pakaian wanita.

Ketika berjalan-jalan di FB, saya terbaca iklan tentang CrispyKapit.  Tak pernah lagi melihat kuih  kapit yang berinti coklat dan mentega kacang.  Mesti sedapkan.  Jadi saya terfikir juga untuk memborong sempena hari raya.  Sebelum menempah kuih kapit tersebut, saya lakukan promosi di fb, kemudian mengambil tempahan pelanggan.  Alhamdulillah, sambutan agak baik.  Disebabkan masalah pengangkutan, saya terpaksa mengambil sendiri stok di RnR Seremban setelah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.  Ya, perancangan Allah lebih baik dari kita hambaNya.  Keesokan Hari saya menerima perkhabaran abah kemalangan, tidak sedarkan diri dan telah dimasukkan ke Hospital Besar Seremban.  Allah, Ramadhan ini kami berduka.  Penghantaran kuih kapit terpaksa dihentikan.  Kami berkampung di hospital.  Tinggalkan segala kesedihan, hidup perlu diteruskan.  Al-Fatihah untuk arwah abah dan mereka yang telah pergi terdahulu dari kita. Al-Fatihah.

2015, saya mencuba pula menjadi dropship produk aromaterapi SUTRA dan BIDARAWORLD.  Kenapa saya sukakan SUTRA?  Awalnya saya membeli produk ini dari rakan fb, iaitu Multipurpose Spray Pandan.  Baunya harum seharum daun pandan asli yang ditanam oleh mak.  Ianya ekstrak minyak pati pandan itu sendiri dan campuran air.  Ianya serbaguna, boleh digunakan untuk menghalau serangga, menggosok pakaian, mengelap cermin dan banyak lagi kelebihan MPS Pandan ini.  Malahan ada yang menjadikannya spray badan.  Jadi, saya terfikir produk ini pasti diperlukan oleh ibu-ibu diluar sana.  Kini, saya adalah Agent Sutra Pontian yang sah.  Saya bangga dan suka berkongsi manfaat produk ini dengan orang sekeliling kerana ia keluaran bumiputera, natural dan mampu milik.

Terkini, saya turut menjual barangan permainan kanak-kanak yang lebih berunsur pendidikan.  Saya bekas guru tadika selama lebih kurang 11 tahun.  Selama 11 tahun ini, saya nampak ramai anak-anak yang kurang mahir motor halusnya.  Motor halus tidak terbina dengan baik.  Kenapa dan mengapa?  Jawapannya sangat mudah, sekarang dunia IT,  gadget ada dimana-mana.  Ibu bapa bekerjaya, nak mudah, berikan anak-anak bermain permainan di komputer, iPad, handphone dan bermacam gadget lain.  Malahan ada anak yang ketagihan gadget, dikatakan leka tidak makan dan minum sehingga gadget tersebut kehabisan bateri dan padam sendiri.  Bayangkan, anak-anak tersisih dari dunia sebenar kerana gadget.  Jadi, saya berharap dengan permainan pendidikan yang ada dipasaran, dapat membuka mata Ibu bapa, sebenarnya banyak lagi permainan lain yang sangat sesuai untuk anak-anak.

Dalam berniaga bermacam ragam pelanggan yang ditemui.  Semuanya perlu dihadap dengan senyuman dan dada yang lapang.  Pelanggan lari barang dah tempah, pelanggan berhutang terlupa membayar, pelanggan minta diskaun padahal dah habis murah dan bermacam-macam lagi.  Semoga Allah gantikan dengan yang lebih baik.  InshaaAllah, sentiasa bersangka baik.  Namun tidak kurang juga pelanggan yang melontarkan kata-kata yang baik dan seronok di dengar.  "Seronok berbual dengan akak, I rasa sis ni friendly sangat, balance tu akak tak payah pula kan, saya halalkan".  Allahu terima kasih Allah.  Semoga saya sentiasa dikelilingi oleh mereka-mereka yang positif setiap saat dan waktu.


Wednesday 11 January 2017

Ebook Asas Penulisan Blog

Ulasan Ebook Asas Penulisan Blog
Teks: Fauziah Zainudin
fauziahzainudin19@gmail.com

Pernah dulu, saya mencuba membina sebuah blog melalui carian di Google.  Wah! mudah rasanya sebab sudah disediakan template atau acuannya.  Hanya perlu ikut dan pilih.  Namun, bukan seperti yang dilihat atau difikirkan.  Nampak mudah, hakikatnya payah jika tiada panduan.  Jadi, usaha hanya tinggal usaha.

Suatu hari, melalui Facebook, saya ternampak iklan Puan Nor Amalina Rohaizad mengenai Kelas blog.  Saya baca dan fikir, "nak ke?".  Tanpa sedar, otak mengarahkan jemari menaip "pm saya juga" di komen.  Nah, kini saya bergelar murid kepada Puan Amal.  Saya bersedia menadah ilmu yang diberikan bagi menghasilkan sebuah blog yang berinformasi dan mampu memberi manfaat kepada pembaca.

Ebook Asas Blog Penulisan adalah panduan lengkap bagaimana menghasilkan sebuah blog yang baik.  Bukan sekadar baik tetapi berpengaruh.  Sesesuah blog perlu ada analisa dan penentuan tajuk blog.  Ianya seperti biodata penulis.  Dilengkapi nama, latarbelakang keluarga dan pendidikan, bisnes, minat dan matlamat mengikuti Kelas Blog.

Jangan menulis sesuka hati sahaja, ada tatacara dan adab dalam menulis blog.  Dimulakan dengan tajuk, pendahuluan, isi dan penutup.  Tulisan perlu tersusun dengan baik.  Bab, entri dan label perlu ada.  Pendek kata, ianya sistematik.  Jadi, barulah pembaca dapat membaca dengan seronok dan selesa.

Banyak kita lihat dikalangan penulis blog yang menulis dengan bahasa yang bercampur aduk. Kadang kala, tatabahasa juga tidak diambil kira.  Penggunaan bahasa yang betul perlu digunakan.  Ini tidak boleh dipandang ringan.  Kewibawaan sesebuah blog boleh dinilai dari bahasa yang digunakan. Bahasa Jiwa Bangsa, gunakan Bahasa Melayu yang indah ini dengan betul.

Begitu juga, dengan tanda bacaan.  Mesti digunakan dengan betul.  Penulis perlu bijak memilih penulisan dengan ayat pendek-pendek.  Jika panjang, gunakanlah tanda bacaan.

Blog yang baik dan berpengaruh perlu ada cerita atau entri yang baik, gambar yang sesuai dan sentiasa dikemaskini.  Bayangkan, sebuah blog Resepi Masakan, tapi tiada satu pun gambar masakan di dalam blog tersebut.  Tulislah dengan ringkas, cepat dan konsisten setiap hari.  Tapi awas, pastikan penulisan sentiasa positif.  Tulislah, keluarkan idea yang kreatif, namun masih terikat dengan adab dan tertib penulisan blog.  Menulis pasti menyeronokkan bila mana hasil penulisan dapat dimanfaatkan oleh pembaca.  Pembaca pasti akan tertunggu-tunggu entri kita yang terkini.

Akhir kalam, saya berharap dapat menghasilkan blog yang baik, berfokus dan mampu memberi nilai tambah kepada pembaca.  InshaaAllah.

Tuesday 10 January 2017

Kenali Saya

Bismillahirrahmanirrahim..
Selawat dan Salam buat Rasul Junjungan Nabi Muhammad SAW.
ุงู„ู„ู‡ُู…َّ ุตَู„ِّ ุนَู„َู‰ٰ ู…ُุญَู…َّุฏٍ ูˆَุนَู„َู‰ٰ ุงٰู„ِ ู…ُุญَู…َّุฏ

Fauziah nama yang diberikan oleh ayahanda Zainudin bin Sharif dan bonda Siti Sowyah bt Musa.  Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sederhana.  Kami 8 beradik, saya anak ke-5 dalam keluarga.  Kami anak Peneroka.  Arwah abah memasuki Tanah Rancangan Felda di Negeri Sembilan kira-kira 35 tahun dahulu.  Lebih kurang sebaya umur saya 39 tahun.

Mendapat pendidikan awal di Sek Keb Felda Pasoh 2.  Saya membesar seperti kanak-kanak lain.  Ke sekolah, bermain dan berkawan.  Meneruskan persekolahan peringkat menengah di Sek Men Felda Pasoh 2 dari tingkatan 1 hingga 3.  Kemudian menyambung persekolahan di Sek Men Vokasional Juasseh, Kuala Pilah.  Kini dikenali sebagai Kolej Vokasional.  Di Vokasional saya di dalam Kelas Pengurusan Pejabat dan sentiasa bercita-cita menjadi setiausaha.  Tapi Allah tidak mengizinkan bila mana arwah abah juga tak izinkan.  Awal persekolahan saya tinggal di asrama, namun 3 bulan kemudian saya keluar dari asrama dan berulang dari rumah.  Bermulalah episod suka, sedih dan kelakar dalam perjalanan sepanjang kira-kira 30km dari rumah.

Saya meneruskan pengajian ke Politeknik Sultan Ahmad Shah, Pahang dalam kursus Pemprosesan Data.  Di Politeknik, suasana pembelajaran hampir sama seperti di sekolah, ketika itu tahun 1996.  Tapi saya sangat beruntung kerana pihak asrama dan HEP sangat menjaga kebaikan pelajar.  Hidup di asrama memang sangat menyeronokkan tidak seperti semasa di SMVJ.  Rakan sekelas sangat baik dan kami sangat rapat terutama pelajar perempuan Islam yang hanya 6 orang.  Bermacam ragam dan perangai rakan-rakan yang ditemui.  Semuanya ditelan dan dihadap dengan bermacam rasa juga.  Namun ikatan persahabatan itu kami teruskan sehingga kini.

Saya memohon melanjutkan pengajian ke UTM, Skudai.  Dalam jurusan Sains Komputer, tetapi tidak meneruskan sehingga Ijazah.  Hanya peringkat Diploma.  Oleh kerana Kelas Diploma banyak masa terluang, saya melakukan kerja sambilan. Jadi, saya tidak perlu meminta wang dari keluarga.  Selesai diploma, saya terus bekerja.  Niat ke bidang pendidikan terpaksa disimpan demi adik-adik pula.

Bermacam-macam pekerjaan saya buat sejak habis SPM sehinggalah benar-benar ke alam pekerjaan. Bermula dari operator pengeluaran, kerani, sales, guru komputer, it eksekutif dan guru tadika.  Semuanya memberi pengalaman berharga yang tidak dapat diperolehi di mana-mana.  Alam pekerjaan mengajar erti hidup.  Hidup bersendirian, jauh dari keluarga pula, mendidik diri berdikari.  Sehingga kini, sudah berumahtangga, saya fikir saya tetap perlu berdikari walaupun suami sentiasa membantu.

Saya mula berniaga sejak di sekolah rendah.  Menjual sagun buatan mak.  Selain itu, turut menjual buah mangga, kuini dan jambu air tanaman abah.  Asalnya malu dan takut, tapi bila jualan habis, gembira tak terkata.  Namun, kadang kala jualan tidak terjual.  Saat itu, sedih mengingatkan penat mak membuat sagun.

Saya juga biasa menjual hasil kebun abah saperti jagung, cili dan sayuran lain.  Pernah juga menjual kerang hasil kutipan abah di laut.  Seronok bila laku dan dapat hasil selain membantu keluarga.
Sebenarnya, boleh di katakan adik beradik lain juga berniaga walaupun kecil-kecilan.  Abah juga dulu membuka kedai rumcit.

Kini, saya berniaga online.  Walaupun bermula dengan dropship, ada masanya jualan sangat memberangsangkan.  Niat berhenti kerja kerana ingin membesarkan sendiri anak-anak, selain memberi sepenuhnya komitmen pada bisnes online ini.  Semoga dengan mengikuti kelas blog ini akan membuka minda saya.  Saya ingin menambah ilmu dalam bidang ini sebagai persiapan menghadapi cabaran dunia bisnes online yang semakin hebat.  InshaaAllah moga Allah permudahkan.  Aamiin.