Sunday 15 January 2017

Inspirasi Bekerja di Rumah

Teks: Fauziah Zainudin


Tangan yang menghayun buaian, mampu menggoncang dunia.  Wanita, sumber inspirasi.  Mak kita pastinya sumber inspirasi diri kita sendiri.

Kenapa mereka menjadi inspirasi? Kerana mereka mengharung perit getir dalam sesuatu perjuangan untuk mendapatkan kejayaan.  Kejayaan tidak diukur dari banyaknya harta yang dikumpul, atau banyaknya medal yang diperolehi.  Kepuasan hati dalam membuat sesuatu juga boleh menjadi kejayaan pada seseorang.

Membaca Ebook Inspirasi Bekerja di Rumah ini sepertinya membaca luahan hati wanita yang bergelar ibu, mak, mommy dan umi dalam meningkatkan taraf ekonomi mereka selain usaha untuk melestarikan minat dan bakat mereka.  13 orang ibu yang bekerja di rumah.  Sangat menarik dan meruntun jiwa.  Mereka sangat kuat dan cekal, tatkala membacanya, membuatkan saya berfikir "mampukah aku jika berada di tempat mereka?".  Hanya doa di panjatkan ke hadrat Ilahi, semoga Dia permudahkan segalanya.

Boleh disimpulkan disini secara kasarnya, banyak elemen-elemen penting yang perlu dititik beratkan dalam usaha mereka untuk berjaya.  Minat dan bakat antara point penting yang banyak ditulis di dalam ebook ini.  Namun, seandainya seseorang itu tiada atau tidak tahu bakat apa yang dia ada, pastinya minat untuk melakukan sesuatu itu menjadi tonggak utama.

Sokongan ahli keluarga, orang tersayang saya kira juga sangat penting.  Dengan sokongan dan dorongan ahli keluarga, menjadikan ibu-ibu lebih bersemangat dan kuat.  Di sini juga letaknya cabaran dalam bekerja di rumah.  Keluarga, bisnes dan rutin rumahtangga perlu diurus sebaik mungkin.  Waktu yang tepat perlu di tentukan untuk melakukan kerja tersebut.  Jadi, waktu ini, jadual dan perancangan kena ada dan betul.  Benar-benar mencabar rasanya.

Saya suka membaca inspirasi dari Puan Hayati Mohd seorang peniaga yang bermula dengan jualan di jalanan.  Bayangkan, saat orang lain yang juga bekerja dari rumah, menguruskan jualan dan hal bisnes di rumah, namun tidak bagi Puan Hayati.  Dia sangat cekal, kuat dan bersemangat.  Beliau mengetepikan perasaan malu bila berjualan.  Selain sangat terbuka menerima maklum balas, pandangan dan pendapat pelanggan serta penjual yang lebih tua darinya.  Alhamdulillah berkat kecekalannya, beliau mampu bertahan.

Seorang lagi ibu yang berniaga bazar, Puan Nasriah Abdullah.  Membaca inspirasinya membuat saya rasa sedih.  Saya membayangkan beliau dari golongan berpendapatan sederhana.  Tapi beliau sangat berani mencuba.  Tekad beliau ketika kali pertama berbazar sangat saya kagumi.  Saya pernah berbazar, memang macam-macam rasa ada dalam diri, malu, takut, segan, risau dan segala rasa yang negatif.  Terasa sangat sukar untuk membuang rasa-rasa negatif itu.  Puan Nasriah sangat positif, walau seorang diri, beliau tetap mencuba.  Kalau bukan sekarang bila lagi kan?  Kalau tak cuba, kita tak tahu.  Selain doa iringan doa dan tawakkal pada Allah.

Ilmu, pelan pemasaran, idea, modal dan diri sendiri juga tidak ketinggalan menjadi elemen yang perlu dititik beratkan dalam bekerja di rumah.  InshaaAllah, dengan inspirasi 13 ibu hebat ini, mereka-mereka yang membacanya pasti akan terinspirasi untuk memulakan langkah pertama.  Ayuh, pandang ke depan, jalan seiring.

Sampai jumpa lagi ye.

~fauziahzainudin~

No comments:

Post a Comment