Friday 27 January 2017

Balik Kampung ke Felda?

Teks: Fauziah Zainudin

Talian internet sangat perlahan.  39 tahun saya hidup, lahir dan membesar di Felda Pasoh 2, Simpang Pertang, Negeri Sembilan.  Boleh panggil kampung ke? Orang kata Felda.  Saya panggil kampung juga.  Ye saya anak Felda.

Balik kampung, paginya sangat sejuk, walaupun sudah berubah tembok batu sejak lebih 20 tahun dulu, namun kesejukan pagi masih terasa.  Air kolah nak mandi pagi jangan cerita, menggigil nak pegang gayung air.  Tapi mak yang sentiasa taat bangun sebelum subuh tak pernah gagal untuk bersiram dengan kesejukan air kolah itu.  Walau kulit mak makin kendur, tak pernah perkataan sejuk terbit dari bibir mak.

Selepas subuh, pintu dapur seperti dibuka orang.  Sudah dengar bunyi "kur..kur..kur" memanggil ayam itik.  Siapa lagi? Kalau bukan mak? Ayam dan itik dah kenal sangat pitching suara mak.  Cuba orang lain yang memanggil, alamatnya, makan sendiri la nasi dan jagung tu.

Keseronokan balik kampung tak seperti dulu.  Dulu kami selalu balik ramai-ramai terutama yang belum berkahwin.  Meriah.  Kini, semua sudah punya anak-anak yang besar, belajar dan bekerja.  Kalau nak tunggu semua ada, InshaaAllah cuti Hari Raya.

Hmm..sarapan apa yang best pagi ini? Lempeng sodap ni cicah kuah gulai lemak rebung dan keli semalam.  Ah, lapar.


~fauziahzainudin~


No comments:

Post a Comment