Friday 13 January 2017

Saya dan Dunia Pekerjaan

Teks: Fauziah Zainudin


Mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan bidang yang dipelajari bukan mudah, tapi tidak juga mustahil.  Sebelum melangkah ke alam Institusi Pengajian Tinggi, saya pernah bekerja di kilang.  Selepas habis SPM, saya mengikut abang yang tinggal di Johor.  Bekerja sebagai operator pengeluaran di kilang yang sama dengan abang.  Dengan gaji RM350, masa tu, sangat lah banyak dan begitu berharga.  Almaklum tidak pernah mendapat wang sebanyak itu sebelum ini.  Genap sebulan bekerja, saya dipanggil untuk mendaftar ke Politeknik Sultan Ahmad Shah, Kuantan.  Dengan sedikit wang yang ada dapatlah membeli beberapa barang peribadi yang diidamkan.  Banyak juga pengalaman yang dapat dikutip semasa bekerja, ditambah dengan rakan-rakan sekerja yang baik hati. Kenangan itu tidak saya buang, malah saya simpan jadi pengalaman dan pengajaran.

Sehabis menamatkan pengajian di poli, saya bekerja pula di tempat abang ipar di Selangor.  Kerani di sebuah syarikat yang menguruskan pengangkutan barang dari kargo ke syarikat-syarikat lain.  Banyak berurusan dengan pihak kastam dan perkhidmatan pengangkutan seperti MAS, GARUDA dan lain-lain.  Gerun juga, hari pertama menjejak kaki, setiap orang sangat sibuk dengan telefon.  Bunyi deringan telefon sepertinya tidak berhenti-henti.  Nak buat apa ni? Semua orang sibuk?  Sehinggalah saya di ajar cara menjawab telefon oleh senior.  Kelakar juga ye menjawab dalam bahasa inggeris, lama kelamaan jadi biasa apabila ayat yang sama diulang berkali-kali setiap hari.  Betul lah kan Practice Makes Perfect.  Tapi 2 minggu saja saya di syarikat itu, apabila panggilan ke UTM pula diterima.  Alhamdulillah.

Courts Mammoth, nama sebuah syarikat menjual perabot dan barangan elektrik yang tidak perlu diperkenalkan lagi.  Saya memohon bekerja di sana, sebagai Kerani Admin.  Masih saya ingat Pengurus Wilayah Selatan yang menemuduga saya, Mr. Jessu. Baik orangnya, nampak garang tetapi kelakar dalam ketegasan.  Saya ditawarkan jawatan Penyelia tetapi di cawangan negeri lain.  Memikirkan tempat yang jauh, seorang diri dan belum mempunyai pengalaman dalam penyeliaan, saya menolak dengan baik.  Namun kata Mr. Jessu, "she have a talent".  Saya diterima bekerja sebagai Cashering Clerk kerana Admin Clerk tiada di cawangan yang kecil.  Jadi bermula lah pengalaman sebagai cashier dan merangkap kerani.  Alhamdulillah, rakan sekerja semuanya baik belaka.  Di sini, saya belajar bagaimana meminta wang dari pelanggan.  Bunyinya sangat menakutkan, mana mungkin pelanggan nak beri wang sesuka hati.  Namun, wang diminta dari pelanggan yang membeli tetapi kemudian diam tidak membayar.  Bukan setakat kemarahan yang diterima, herdik dan maki kadang-kala didengari.  Allah, risau dan takut dibuatnya.  Namun, bila bekerja kerana Allah, Allah sentiasa bantu.

3 bulan di Court Mammoth,  saya beralih ke sebuah syarikat konsultansi ISO dan latihan.  Di sini selain menawarkan khidmat konsultansi dan latihan, syarikat turut menawarkan kursus pendek komputer dan SKM.  Alhamdulillah, saya selesa di sini.  Rakan yang sentiasa membantu dan majikan yang sentiasa memberi ilmu.  Sedikit sebanyak di sini, bermula pendedahan dalam berkomunikasi.  Ye, sentiasa perlu berurusan dengan pihak atasan kilang-kilang kerana saya membantu menyediakan dokumentasi ISO, dari 9001 hingga 14001 dan kursus pendek.  Mulanya tak faham apa itu ISO 9001, 14001.  Setelah belajar dan bekerja barulah saya tahu, ISO 9001 adalah Sistem Pengurusan Kualiti yang telah ditetapkan standard nya.  Seronok bekerja dan berkawan, sedar tak sedar 5 tahun berlalu.  Disebabkan syarikat berpindah ke tempat lain, saya pula berkahwin dan mengikut suami berpindah ke daerah lain, saya melahirkan rasa untuk berhenti kerja.  Eh..panjangnya coretan pengalaman, tanpa sedar, hari sudah meninggi.  Kita sambung nanti ye.

Sambil layan pesanan pelanggan, sambil kemaskini pengalaman ye.  Pekerjaan saya yang terakhir sebelum bertukar status suri rumah sepenuhnya ialah, guru tadika.  Sejak berhenti pada 2005, saya memikirkan untuk mencari kerja berhampiran dengan rumah.  Saya memohon kerja di sebuah tadika. Tadika Bijak Fikir, di sinilah segalanya bermula.  Awal kerja, agak memenatkan, almaklum perlu melayan hampir 15 orang anak-anak yang aktif.  Belum lagi keseluruhan anak-anak yang ada jika tadika mengadakan aktiviti luar.  Namun, selepas semuanya balik, penat hilang.  Setelah melihat peningkatan mereka dalam pelajaran dan sosio emosinya, terasa sangat berbaloi. 

Digigit, ditarik tudung, dirempuh kerana nak lari, itu semua asam garam dalam pendidikan awal kanak-kanak.  Demi untuk meningkatkan ilmu dalam bidang ini, saya mengambil kelas hujung minggu PJJ.  Menghadiri kursus-kursus berkaitan psikologi, emosi dan kemahiran-kemahiran lain yang diperlukan dalam menangani anak-anak.  Alhamdulillah, sedikit sebanyak sangat membantu.  Anak-anak suka bermain, jadi sebagai guru dan ibu juga, saya kena tahu, macam mana nak tarik minat anak-anak belajar tapi semasa bermain.  Susah ke? Awalnya memang payah, tapi akhirnya inshaaAllah mudah. 

Belajar tidak semestinya duduk di dalam kelas, pegang pensel dan buku.  Anak-anak tidak boleh fokus pada sesuatu benda terlalu lama.  Jika terlalu lama, mereka akan bosan.  Saya pernah mengajar seorang anak yang aktif.  Dia tak suka disuruh buat itu dan ini.  Dia hanya akan buat, jika dia nak buat.  Jika saya memaksanya, dia akan mengamuk dan menyerang saya atau guru lain.  Maka, jika saya sudah nampak ada unsur-unsur kebosananan, stop the class, let's sing a song.  Kelas akan ceria kembali.  

Saya juga suka mengadakan games untuk anak-anak ini.  Antaranya melompat di atas kertas besar yang tertulis huruf-huruf.  Apa yang tersurat mereka belajar huruf dan membina motor kasar melompat.  Namun yang tersirat? Melatih mereka bertolak ansur, berfikir sebelum melakukan lompatan, bergilir-gilir menunggu giliran dan bermacam lagi.   Banyak lagi permainan lain yang boleh direka untuk anak-anak ini.  Kata bijak pandai, Kanak-kanak itu jiwanya bermain.  

Kini, setelah tidak lagi mengajar anak-anak tadika, masih ada ibu bapa yang saya kenali memanggil saya 'Cikgu'.  Rasa segan juga, alah cikgu tadika jer pun.  Tapi betullah, jika bekerja sebagai pengurus, orang tidak memanggil kita pengurus, mungkin encik atau tuan.  Tetapi guru, orang akan tetap panggil 'Cikgu'.  Semoga Allah membalas yang baik atas apa yang saya lakukan.  Semoga tugas guru itu Allah menjadi amal jariah yang berpanjangan.  Aamiin.

Oh, cukup sudah sampai disini, lain kali sambung lagi.
Assalamualaikum.

No comments:

Post a Comment