Tuesday, 31 January 2017

Adab Berjiran

Teks: Fauziah Zainudin

Jam sudah menunjukkan angka 10.  Usai solat isyak malam ini, nak terus lelapkan mata.  Masih terasa tegangnya kaki memijak clutch dan pedal minyak.  Sekejap-sekejap tekan pula pedal brek.  Perjalanan sangat perlahan hari ini di lebuhraya.

Saat pahlawan kecil ibu semakin lena, yang lain juga telah dibuai mimpi.  Ibu rasa dah terbang ke angkasa, tiba-tiba bunyi Whatsapp masuk "ibu bekas murid kita dulu, meninggal dunia hari ini".  Innalillahiwainnailahirojiun.  Allah, kasihan anak-anak masih kecil dan kurang sihat pula.  Semoga Allah tempatkan arwah disisiNya bersama mereka yang solehah, Aamiin.

Rasa mengantuk kembali menguasai.  Sambil mendodoi pahlawan kecil, sambil melayan mata.  Akhirnya, saat hampir terlena di ulit intan, "vrrommm, vrrommm".. Allah, siapa pula kali ini?  Pejamkan sahaja mata yang hampir lena, namun kurang berjaya bila mana keluar pula suara-suara ketawa dan bualan mereka.

Mengintai dari jendela depan, tiada masa lainkah mereka mahu berkumpul? Di depan jalan betul-betul dihadapan rumah.  Tidak marahkah ibu bapa mereka, tatkala anak remaja  tiada di rumah waktu malam begini? Ye, benar esok masih bercuti.  Tapi manakah adab berjiran kita?

Hati sedikit geram, sambil mengambil kunci kereta, saya bergerak dalam kelam bercahayakan lampu jalan.  Konon-konon mencuba alarm kereta yang berada di luar pagar.  Kemudian, "adik-adik, kan dah malam ni, orang lain nak tidur, ada anak-anak kecil nak tidur, kenapa berkumpul di situ? Ada apa-apakah?"  Semua memandang.  "Kitakan hidup berjiran".  Sambil masih memandang, ada yang tertunduk.  Tak kurang pula menyalahkan rakan lain.  Saya berlalu pergi, mujur saya berkata tanpa memarahi.

Kedengaran deru motosikal berlalu pergi, jalan kembali sunyi.  Alhamdulillah.  Namun masih kedengaran dentuman mercun sekali sekala.  Faham, masih dalam suasana Tahun Baru Cina.

Pulanglah anak-anak, ibu bapa mu menunggu di rumah dalam kerisauan.

~fauziahzainudin~

Tv Vs Mainan Edukatif

Teks: Fauziah Zainudin

Bila tv rumah uwan rosak, anak-anak jadi lebih rapat, lebih bersosial antara sepupu.  Kalau tidak, sibuk berebut rancangan tv kegemaran sendiri.

Hari ini, abang Harith ajar adik Merah main dam.  Asalnya itu permainan chess, disebabkan ibu pun tak mahir main chess, ibu ajar abang Harith main dam.  Lepas dah banyak kali kalah, ibu suruh abang Harith ajar adik Merah, sekurang-kurangnya abang boleh rasa menang.  Hehe, jenuh mengajar adik Merah yang baru berumur 5 tahun.

Mereka pilih mainan yang mereka nak beli tadi semasa di kedai mainan.  Abang Harith pilih chess, adik Merah pilih lego, selepas beberapa pilihan mainannya tidak diluluskan oleh Mak Usu.  Bukan apa, nak ajar mereka beli mainan yang berfaedah dan menjentik minda bukan mainan yang bukan-bukan.

Letih bermain, mereka baring dan berbasikal pula.  Almaklum di kampung, kawasan yang luas digunakan sepenuhnya.

Akhirnya, abang Harith tewas, kepenatan dan sakit gigi.  Adik Merah pula diserang selsema.  Kasihan mereka.

Tidak mengapa, anak-anak yang kuat akan cepat sihat.

~fauziahzainudin~

Sunday, 29 January 2017

Kelas Online

Teks: Fauziah Zainudin

Baru-baru ini, saya cuba mengikuti satu kelas bisnes online, "Close Sale".  Dengan harga yang mampu milik, saya beranikan diri.  Sebelum ini, saya tak pernah mengikuti mana-mana kelas atau bermentor.

Susah juga memilih mentor yang sesuai.  Ada sahaja yang tidak berkenan di hati.  Difikirkan mentor ini wanita dan pernah saya ikutinya di fb, selain menjual produknya suatu ketika dahulu, jadi saya nekad.

Alhamdulillah, ilmu yang ringkas dan padat.  Memang mudah untuk dihadam.  Senang untuk dipraktikkan.

Memang bukan mudah untuk "close sale" jika tidak kena gaya pelanggan.  Bukan semua pelanggan mudah memilih dan terus membayar.  Banyak soal jawab pelanggan yang perlu di layan.  Apapun, mereka berhak kan.

Pada hemat saya yang sangat tidak ada ilmu bisnes ini, tidak perlu ayat yang bombastik sangat untuk memancing pelanggan.  Boleh sahaja ayat penceritaan yang baik, tapi bukan ada unsur seperti menipu.  Andai kata produk yang dijual baik, niat kita juga baik, InshaaAllah, pelanggan pasti beli.

Bila mana di katakan kita perlu menekan pelanggan dengan ayat yang konon menunjukkan masalah pelanggan berat dan kita mampu bantu, saya rasa akan sangat bersalah kepada pelanggan.  Mana mungkin!

Mungkin ada yang suka membaca ayat yang menikam jiwa, tapi ada juga yang malas membaca ayat panjang, cukup ayat yang ringkas, tepat dan padat.

Jadi, pilihan di tangan saya.

~fauziahzainudin~

Saturday, 28 January 2017

Asrama 90an

Teks: Fauziah Zainudin

Dalam hidup, pengalaman adalah guru.  Mengajar untuk hidup lebih tabah, lebih rajin, lebih berusaha dan macam-macam lagi.  Kenapa ye? Kerana asalnya, kita tidak tahu, tetapi melalui pengalaman tadi kita jadi tahu dan mahu lebih tahu.

Setiap insan melalui pengalaman yang menggembirakan atau menyedihkan.  Pastinya, yang menggembirakan itu, selalu di kenang.  Namun, pengalaman menyedihkan itu, tidak sepatutnya terus dibuang, mungkin ada sisi pengalaman sedih itu yang menjadikan kita lebih kuat dan tabah.

Pengalaman saya pertama kali masuk asrama memang menggembirakan.  Orang kata duduk asrama, orang bijak-bijak, orang pandai-pandai.  Oh, tidak semestinya.  Saat pertama kali dapat menduduki asrama, hati berdebar antara suka dan risau.  Suka sebab tak payah naik bas, pagi-pagi kena bangun awal.  Asrama dan sekolah, tak sampai 1km, jadi mudahkan.  Risau, tak tahu dapat ke duduk sebilik dengan kawan baik?.  Yelah, ramaikan yang tinggal di asrama.

Rupanya, kerisauan menjadi nyata, saya tidak dapat sebilik atau sedorm dengan kawan baik.  Tiada seorang pun kawan baik dalam dorm tersebut.  Ada seorang rakan sekelas saya dalam dorm, tapi saya kurang baik dengan dia.  Allah, macam mana? Rupanya Allah letak saya sebilik dengan yang saya kurang baik supaya saya mendapat ramai kawan.  Ye, saya jadi selesa dengannya.  Setiap pagi bersama ke surau.

Zaman 90an dahulu, sangat popular dengan sesi "ragging".  Di tukar sedikit namanya "suai kenal".  Namun, semasa kejadian, sangat berbekas di hati ini.  Malu, geram dan marah bersatu.  Di suruh kita si junior menembak nyamuk di bawah katil, pastikan ada bunyi tembakan.  Allah saja yang tahu, bila perilaku kita di jadikan tontonan.  Mujur di zaman itu, tiada telefon bimbit yang boleh merakam peristiwa bersejarah, kalau tidak, hmm viral la kan.

Apa pun, setelah bertahun berlalu, pengalaman itu jadi ingatan.  Boleh ketawa sendiri dibuatnya.  Kepada mereka si senior saya sudah hapuskan kemarahan itu.  Saya anggap is satu gurauan antara adik dan kakak.

Kini, asrama dah tiada semua itu, saya kira.  Semoga anak-anak belajar dan tinggal di asrama dengan gembira.

~fauziahzainudin~

Friday, 27 January 2017

Balik Kampung ke Felda?

Teks: Fauziah Zainudin

Talian internet sangat perlahan.  39 tahun saya hidup, lahir dan membesar di Felda Pasoh 2, Simpang Pertang, Negeri Sembilan.  Boleh panggil kampung ke? Orang kata Felda.  Saya panggil kampung juga.  Ye saya anak Felda.

Balik kampung, paginya sangat sejuk, walaupun sudah berubah tembok batu sejak lebih 20 tahun dulu, namun kesejukan pagi masih terasa.  Air kolah nak mandi pagi jangan cerita, menggigil nak pegang gayung air.  Tapi mak yang sentiasa taat bangun sebelum subuh tak pernah gagal untuk bersiram dengan kesejukan air kolah itu.  Walau kulit mak makin kendur, tak pernah perkataan sejuk terbit dari bibir mak.

Selepas subuh, pintu dapur seperti dibuka orang.  Sudah dengar bunyi "kur..kur..kur" memanggil ayam itik.  Siapa lagi? Kalau bukan mak? Ayam dan itik dah kenal sangat pitching suara mak.  Cuba orang lain yang memanggil, alamatnya, makan sendiri la nasi dan jagung tu.

Keseronokan balik kampung tak seperti dulu.  Dulu kami selalu balik ramai-ramai terutama yang belum berkahwin.  Meriah.  Kini, semua sudah punya anak-anak yang besar, belajar dan bekerja.  Kalau nak tunggu semua ada, InshaaAllah cuti Hari Raya.

Hmm..sarapan apa yang best pagi ini? Lempeng sodap ni cicah kuah gulai lemak rebung dan keli semalam.  Ah, lapar.


~fauziahzainudin~


Thursday, 26 January 2017

Merentas Padang

Teks: Fauziah Zainudin

Pulang dari sekolah, abang Harith kata dia dapat nombor empat lari hari ini.  Wah, tahniah abang Harith.  Tapi ibu macam dengar tak dengar apa yang dibebelkan.  Kasihan dia.

Sambil makan malam, baru ibu tahu cerita sebenar.  Harith Daniel menang lari merentas padang hari ini.  Dapat nombor empat.  Oh, ye ke? Bukan merentas desa ke Harith Daniel?  Saya dah terbiasa memanggil dia dengan nama penuh, jadi dia juga membahasakan diri dengan nama penuh.  Betul lah, merentas desa untuk darjah 4, 5 dan 6.  Darjah 1, 2 dan 3 merentas padang sahaja, terang Harith Daniel.  Ibu fikirkan dia salah.  Hmm, ibu selalu tidak yakin dengan abang Harith.  Kasihan dia.

Dapat hadiah apa? Ibu tak nampak pun medal atau piala? Dapat botol air dan bekas pensel sahaja ibu.  Tak mengapalah, apa pun Harith Daniel dah buat yang terbaik.  Hafizi kawan Harith Daniel tu dapat nombor atas Harith Daniel.  Nombor berapa tu? Nombor tigalah.  Hmm, macam-macam ayat dia.

Baru ini pertama kali saya mendengar aktiviti merentas padang.  Dulu merentas desa waktu sekolah menengah sahaja.  Apa pun aktivitinya, semoga memberi impak kepada murid-murid.  Berilah hadiah apa pun, anak-anak tetap teruja.  Buktinya, bekas pensel dah diisi selepas dapat hadiah.  Anak-anak, memang begitu.

Esok ibu nak kejutkan Harith Daniel awal pagi sebelum subuh, lari keliling taman, mahu ke?  Betul ke ibu?  Tak larat nak menjawab, esok sahaja jawapan ibu berikan.  Dah, kemaskan baju sendiri, esok kita nak balik kampung.  Berdesup hilang, cepat pula dia bertindak.  Dah siap ibu!.  Allahu Akbar.




~fauziahzainudin~

Mainan Edukatif

Teks: Fauziah Zainudin
Foto: Sumber Google

Educational Toys, bila diterjemah menjadi Permainan Edukatif.  Maafkan jika terjemahan ini salah.  Tiada niat mencalar bahasa ibunda ini.

Permainan Edukatif merupakan permainan yang bertujuan merangsang daya berfikir anak-anak.  Permainan ini biasanya mengikut tahap umur anak-anak.  Seperti yang telah disarankan sebelum ini, pilihlah permainan yang tepat untuk anak-anak.

Bilakah waktu yang sesuai ibu bapa memberikan permainan edukatif ini kepada anak-anak?  Sebaiknya, seawal 2 tahun sudah boleh diberikan permainan edukatif ini.  Ini bagi merangsang daya pemikiran anak-anak.

Ketika anak-anak bermain, otak mereka akan menganalisa maklumat.  Semestinya ibu bapa perlu turut bersama ketika bermain untuk menjadi pengantara kepada anak.  Contoh, seorang ibu dan anak bermain mainan puzzle bentuk.  Si ibu perlu membantu anak buat pertama kali bagaimana bermain permainan tersebut.  Biasanya bentuk-bentuk akan berwarna warni, secara tidak langsung ibu akan memperkenalkan warna kepada anak-anak.  Tidak cukup sekali, ibu perlu mengulang permainan sehingga anak mahir dan boleh bermain sendiri.

Dengan bermain tadi, anak membina kemahiran motor halusnya, dengan memegang alat permainan.  Jemari anak menyentuh permukaan permainan, sensori motor akan berkembang.  Sensori motor termasuk sentuhan pada permainan, pergerakan semasa bermain dan pengulangan perlakuan.  Di sini anak tahu permukaan yang licin atau kesat.  Keseluruhan pancaindera digunakan semasa bermain.

Jadi, ibu bapa belilah permainan yang tepat untuk anak-anak.  Walaupun permainan edukatif tapi pastikan sesuai dengan tahap umur anak.  Lebih penting pastikan keselamatan alat permainan terjamin.

Selamat memilih permainan untuk anak-anak.
Selamat bercuti😊😊

~fauziahzainudin~